Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius insiden yang berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dan menegaskan bahawa sebarang perlakuan gurauan yang keterlaluan tidak boleh diterima sama sekali.
Menurut kenyataan yang Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, KBS berpendirian bahawa budaya ‘gurauan’ seperti ini tidak sihat dan bercanggah dengan nilai institusi pendidikan.
Berikut adalah rumusan Kronologi Kes dan Keputusan Lembaga Tatatertib yang telah dibuat :
Kronologi Ringkas Kes
- 21 September 2025: Pemeriksaan kesihatan pertama mangsa mendapati tiada kecederaan fizikal dikesan. Bagaimanapun, mangsa mengalami tekanan emosi dan psikologi selepas kejadian.
- 23 September 2025: Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Puan Chan Hong Jin, diadakan. Turut hadir Pengarah Kemahiran BPKB, Puan Dalila Sharingat, dan wakil-wakil dari PDRM untuk mendengar keterangan. Mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan kedua dan disahkan dalam keadaan baik dengan tiada kecederaan.
- 24 September 2025: Pemeriksaan kesihatan ketiga mangsa dijalankan di Hospital Miri, dan laporannya juga menyatakan tiada kecederaan dialami.Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN turut diadakan untuk membincangkan hukuman bagi pelajar yang terlibat.
Tindakan Tegas Terhadap Pelajar Terlibat
Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri telah sebulat suara membuat keputusan untuk mengambil tindakan keras sebagai pengajaran dan penghalang kepada kes yang akan datang:
- Gantung pengajian selama satu (1) minggu dengan serta-merta.
- Elaun pelajar terlibat diberhentikan serta-merta.
- Pelajar perlu melaksanakan kerja amal, lapor diri berkala dengan pegawai disiplin, dan dikenakan tahan outing selama sebulan.
- Pelajar yang terlibat dan mangsa wajib mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri.
Artikel berkaitan : Tular Video Pelajar IKBN Dihayun Beramai-ramai Ke Tiang, KBS Gesa Siasatan Penuh
Artikel berkaitan : Bukan Sekadar Gurauan, Kenali 6 Jenis Buli Yang Kita Sering Terlepas Pandang
Selain itu, KBS turut mengumumkan tindakan lain yang bakal diambil bagi memastikan insiden buli atau gurauan keterlaluan ini tidak berulang lagi di IKBN Miri:
- Pemantauan Lebih Kerap: Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan tenaga pengajar akan melaksanakan pemantauan yang lebih kerap dan memberi motivasi kepada pelajar.
- Kaunseling Jangka Masa Panjang: HEP akan mengaturkan sesi kaunseling untuk semua pelajar yang terlibat bagi satu tempoh masa yang munasabah, menggunakan perkhidmatan kaunseling dari Kementerian Pendidikan atau Kementerian Kesihatan.
- Kerjasama Polis: HEP akan melantik Pegawai Perhubungan Institut untuk menjalankan program pencegahan keganasan dan buli bersama IPD Miri.
- Taklimat PDRM Berkala: HEP akan mengadakan taklimat dan ceramah berhubung buli yang disampaikan oleh PDRM setiap suku tahun (3 bulan sekali).
- Perluas Peti Aduan: Pelaksanaan peti aduan dan cadangan penambahbaikan akan diperluas di tempat yang mudah diakses supaya aduan dapat dibuat dengan segera.
Sumber : Unit Komunikasi Korporat, KBS