Kemelut pembahagian harta Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey masih belum selesai, ia berkaitan adik kepada arwah Abam, Ali Puteh dan balu Nur Hidayah.
Terbaru, Ali Puteh kecewa apabila rumah ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad akan disita selepas dia gagal melunaskan tuntutan RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali seperti yang diperintahkan mahkamah.
“Kenapa perlu kaitkan dengan rumah arwah mak saya? Masalah itu antara saya dengan balu arwah Abam saja. Saya pun baru dapat tahu benda ini dan surat (mahkamah) pun baru sampai. Lagi pun, bukannya saya nak menolak untuk membayar RM60,000 itu.
Saya akan cuba membayarnya juga. Cuma, tak bolehlah nak bayar sekali gus sebab saya ada tanggungan keluarga. Kerjaya saya pun dah tak ada langsung dan mungkin akan bayar secara ansuran,” katanya.
Menurut laporan Harian Metro, Ali Puteh memberitahu dia tidak dapat melunaskan bayaran tersebut kerana tiada pendapatan dalam karier seninya.
“Saya jadi pelik sebabnya ini (rumah) harta arwah mak saya, kenapa pula dijadikan sebagai cagaran ataupun nak disita? Kes RM60,000 itu antara saya dengan balu arwah Abam. Tapi, kenapa kaitkan dengan harta arwah mak saya dan dicampur adukkan dalam kes ini?
Dengan sitaan mahkamah, surat bercop (mahkamah) itu tidak sepatutnya terjadi. Nak balas dendam kononnya hukum karma, tak sebenarnya bukan. Saya dah tekankan, ini kes berlainan.
Kes saya dengan balu arwah Abam lain dan kes faraid pun lain. Ia tak sama,” katanya.
Selain itu, Ali Puteh turut berkata dia berdiam diri sebelum ini kerana dia tidak mahu mengeruhkan keadaan dan kes ini sudah pun bertahun lamanya.
Baca: Isu Harta Arwah, Netizen Minta Ali Puteh ‘Hadam’ Penerangan Ustaz Ini