“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri” seperti yang terkandung dalam lirik lagu nyanyian P Ramlee ini sememangnya sesuai ditujukan buat hubungan suami isteri yang pasti akan dilanda ‘badai’ sehingga mencetuskan pertengkaran.
Ia adalah sebahagian daripada proses untuk pasangan saling mengenali antara satu sama lain yang seterusnya akan mengeratkan lagi keharmonian dalam rumah tangga.
Apabila bertengkar, sudah pasti pihak isteri atau suami akan mengambil pelbagai langkah untuk ‘menenangkan’ diri supaya perbalahan itu tidak berterusan. Contohnya, merajuk balik rumah mak, menyibukkan diri dalam urusan kerja dan sebagainya.
Namun, seorang lelaki dari Itali ini mengambil langkah yang agak ‘ekstrem’ untuk menenangkan diri apabila dia telah berjalan kaki sehingga beratus kilometer setelah bergaduh teruk dengan isterinya.
Jalan kaki sejauh 420KM dalam tempoh 7 hari
Dia sebelum ini telah bertengkar dengan isterinya. Untuk ‘menyejukkan’ hati, lelaki berkenaan telah keluar dari rumah dan berjalan kaki tanpa arah tujuan sejauh 420 kilometer dalam tempoh seminggu!
Wah, betul-betul marah ni.
Memetik Oddity Central, lelaki yang berusia 48 tahun dari Como yang merupakan sebuah bandar di bahagian utara Milan itu telah berjalan kaki tanpa henti sepanjang tempoh berkenaan.
Ditahan merayau pukul 2 pagi
Dia hanya berhenti selepas seminggu kemudian apabila ditahan oleh polis yang membuat rondaan di Gimarra, 418 kilometer jauhnya dari bandar tempat tinggalnya.
Polis tersebut pada awalnya membuat rondaan di kawasan itu untuk memastikan penduduk di sana tidak berlegar-legar di luar kawasan rumah selepas waktu yang ditetapkan oleh kerajaan gara-gara untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di Itali.
Dia yang melihat lelaki itu berjalan seorang diri pada pukul 2 pagi telah menahannya dan membawanya ke balai polis berhampiran setelah berlakunya beberapa soal jawab.
Polis itu kemudiannya menyedari bahawa lelaki tersebut merupakan lelaki yang sama yang telah dilaporkan hilang oleh isterinya sejak seminggu yang lepas.
Hanya berjalan kaki, tak naik apa-apa kenderaan
Selepas didesak oleh pihak polis, barulah lelaki berkenaan bercerita kepada pihak polis punca sebenar dia ‘merayau’ sehingga beratus kilometer dari rumahnya dengan hanya berjalan kaki tanpa menaiki sebarang jenis kenderaan.
Sehingga ke hari ini saya hanya bergantung kepada makanan dan minuman yang diberikan kepada saya oleh insan yang baik sepanjang perjalanan.
Tambahnya lagi, dia berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja namun berasa sedikit penat disebabkan ‘ekspedisi’ tersebut.
Didenda RM1975 sebab langgar perintah berkurung
Setelah mendengar pegakuan lelaki itu, pihak polis bertindak untuk memberitahu isterinya mengenai berita penemuan suaminya itu. Selain itu, dia juga dikenakan denda sebanyak 400 euros (RM1975) gara-gara melanggar pematuhan perintah berkurung.
Aduhai, penat dapat, lepastu tak pasal-pasal pulak kena bayar denda sampai beribu.