Pihak kerajaan telah memberikan jaminan untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selain daripada memastikan sokongan diberikan sekiranya berlaku apa-apa kepada peserta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat The Command Centre semalam.
Artikel berkaitan : Israel Siap Sedia Halang Kapal GSF, Ini Mungkin Apa Yang Akan Berlaku Terhadap Semua Aktivis
Artikel berkaitan : Malaysia Akan Bantah Keras Sekiranya Kapal GSF Dipintas – PM
Kerajaan dah sedia sebarang kemungkinan
“Beberapa bentuk bantuan akan diuruskan untuk keluarga 34 peserta, dan sekiranya apa-apa berlaku kepada mereka yang berada dalam misi terbabit, kerajaan akan segera memberi bantuan sewajarnya.
“Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah memaklumkan mengenai sumbangan untuk keluarga peserta di tanah air.”
Dalam pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan ada menerima laporan daripada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby tentang cubaan kapal yang dipercayai menjadi milik rejin Zionis Israel menghampiri flotila pada jam 8.45 pagi waktu Malaysia.
“Ketika itu, flotila masih berada di perairan antarabangsa dalam kawasan dikenali sebagai Zon Kuning.”
“Kehadiran kapal berkenaan membimbangkan, apatah lagi turut dikesan lebih 10 unit dron di ruang udara.”
“Namun, setakat ini belum berlaku sebarang pintasan fizikal dan seluruh delegasi berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk persediaan sekiranya bot mereka dipintas atau terputus hubungan.”
Jelas Fahmi lagi, flotila dijangka dapat memasuki Zon Merah R3 kira-kira 100 batu nautika dari Gaza pada jam 9 malam waktu Malaysia.
“Siarkan secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di atas kapal telah mula dipancarkan untuk tontonan dunia.”
“Kita berdoa agar misi GSF ini berjaya dan semua peserta sentiasa selamat. Kita juga perlu terus membantu membina naratif bagi menyokong perdamaian di Gaza serta kejayaan misi ini.”
Mengenai Pelan Damai baharu yang ditaja Presiden Amerika Syarikat, Fahmi menyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dan ia ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Sumber : Harian Metro