Pernah tak korang cuba ingat balik memori zaman kecil, tapi yang datang cuma ingatan-ingatan yang kecil dan tak lengkap? Korang memang nampak ada wajah orang, ada suasana yang tak asing, tapi semuanya kabur macam ada satu puzzle yang hilang kepingannya.
Lagi kita cuba untuk gali dengan lebih mendalam, lagi susah kita nak sambung semuanya jadi satu. Macam mana sekalipun kita cuba nak ingat, kita memang ingat sebahagian sahaja dan ibarat bahagian lain seolah-olah tak pernah wujud langsung.
Bila dah meningkat dewasa, kita cenderung menoleh ke belakang dan mencari memori-memori lama sebab konon nak faham macam mana pengalaman zaman kanak-kanak kita dulu membentuk siapa diri kita sekarang, yang kesudahannya kita tetap tak dapat cari jawapan yang sebenar.
Tapi sebenarnya, normal je bila kita tak dapat nak ingat semua zaman kecil kita dan andai kata kita tak ingat pun, ia tak bermaksud ada sesuatu yang tak kena. Ramai orang anggap yang kehilangan memori berkait rapat dengan trauma kisah silam, sedangkan anggapan itu tak semestinya betul.
Memang tak dinafikan, memori kita boleh hilang atas pelbagai sebab, termasuklah perkembangan otak yang masih belum matang, kurang pengalaman sosial yang boleh buat kita ingat atau kisah trauma yang membuatkan kita pilih untuk lupakan segalanya.
Jadi artikel kali ini akan menjelaskan kenapa korang tak boleh ingat kembali memori-memori zaman kecil dulu. Boleh teruskan baca artikel ini di bawah.
Artikel Berkaitan: 2 Januari Dipilih Sebagai Hari Introvert Sedunia, Ini Fakta Tentang Introvert Yang Tak Ramai Tahu – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Kenapa Tangan Kita Automatik Gosok Mata Walaupun Tak Gatal? Ini Penjelasannya… – Lobak Merah
Childhood amnesia

Childhood amnesia atau infatile amnesia merujuk kepada keadaan di mana orang dewasa sukar atau tak mampu untuk mengingati memori awal zaman kanak-kanaknya.
Sebenarnya memang normal je kebanyakan kita tak boleh ingat kembali memori dan pengalaman yang pernah berlaku ketika umur 0 hingga 3 tahun serta kita cuma akan mempunyai beberapa memori terhad sebelum capai umur 10 tahun.
Keadaan ini berbeza daripada masalah lupa yang kita selalu alami bila dah meningkat usia. Hal ini bukan berlaku disebabkan kerana ingatan kita semakin lemah, tapi ia kerana memori pada waktu kanak-kanak tidak disimpan dengan cara yang sama orang dewasa simpan memori.
Pusat memori terlalu padat

Satu kajian mendapati yang bila kanak-kanak semakin membesar, mereka akan selalu tersalah ingat umur sebenar ketika sesuatu memori itu berlaku.
Sebagai contoh, mungkin mereka masih boleh ingat satu peristiwa seperti bemain dengan kawan, tapi bila ditanya bila ia berlaku, kanak-kanak akan memberi respon bahawa ia berlaku setahun atau lebih lambat dari masa sebenar.
Salah satu sebab kenapa perkara ini berlaku ialah perkembangan hippocampus iaitu pusat memori otak yang bertanggungjawab untuk menyimpan segala memori tentang pengalaman hidup kita. Bahagian ini akan menghasilkan neuron-neuron baharu sampai kita meningkat dewasa.
Masa kita kecil, neuron-neuron ini terbentuk dalam kadar yang sangat pantas, sehinggakan ia boleh ganggu ruang rangkaian memori lama yang sedia ada. Jadi sebab itulah, kita susah nak akses atau ingat semula dengan jelas memori awal yang pernah disimpan dulu sebab semua memori seperti tertindih dengan satu sama lain.
Bahasa mempengaruhi ingatan kita

Korang perasan tak kalau kita cuba ingat semula memori zaman awal kanak-kanak dulu, kebanyakannya muncul dalam bentuk visual dan bukan melalui kata-kata?
Kebanyakan memori kita waktu kecil semuanya tak ada jalan cerita yang jelas, tapi serpihan ingatan seperti bunyi, imej, bau dan perasaan kita pada waktu itu.
Perkara ini berlaku kerana memori awal terbentuk sebelum kita betul-betul boleh menguasai bahasa. Pada waktu itu, kita belum mampu untuk mengeluarkan kata-kata yang jelas kepada apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Jadi, secara tak langsung, kita pun tak boleh nak ingat semula sebab kita pun tak faham diri kita lagi waktu itu.
Bila kemahiran bahasa mula berkembang dan kefahaman kita pun dah makin meluas, barulah kita dapat menamakan setiap peristiwa serta simpan semua memori yang kita pernah alami.
Pembentukan identiti diri sendiri

Pembentukan identiti diri memainkan peranan besar dalam cara kita mengingati memori. Walaupun faktor genetik ada kaitan dengan salasilah diri kita, tapi ia bukan satu-satunya perkara yang membentuk identiti kita.
Sejak bayi, kita sebenarnya boleh kenal diri sendiri melalui berinteraksi dengan orang sekeliling dan persekitaran. Sekitar usia 18 bulan hingga 2 tahun, kita mula faham dan sedar tentang diri sendiri dengan lebih jelas. Pada tahap ini juga, kita sudah boleh mentafsir dan meletakkan kategori bagi setiap pemikiran dan perasaan apabila mengalami sesuatu peristiwa mengikut kefahaman tentang diri kita.
Bila memori dikaitkan dengan identiti diri, dia terus menjadi sebahagian daripada cerita hidup kita. Makna peribadi yang ada pada memori tersebut menjadikannya lebih mudah disimpan dalam ingatan jangka panjang dan diingati semula apabila kita dewasa.
Jadi, macam mana nak dapatkan semula memori zaman kecil kita dulu? Sebenarnya, kesukaran dalam mengingati memori zaman kanak-kanak masih lagi menjadi teka-teki bagi para penyelidik dan ahli psikologi.
Terdapat pelbagai faktor kompleks yang mempengaruhi perkara ini, tapi ia tidaklah bermakna ada sesuatu yang tak kena dengan kita andai kata kalau kita tak dapat nak ingat semula kenangan zaman kanak-kanak dulu.
Tapi kalau terdapat jurang ingatan yang ketara dan mungkin berkait rapat dengan trauma zaman kanak-kanak, jangan takut untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang lebih pakar sebab sokongan profesional inilah yang boleh bantu kita fahami dan urus ingatan kita lebih baik.
Sumber: Very Well Mind, Life Book Memoirs
