in

FIFA Denda FAM Kerana Turunkan Pemain Tak Layak, Diisytihar Kalah 0-3 Dalam 3 Perlawanan

fam

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat FIFA yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Jorge Palacio, pada 12 Disember lalu.


Artikel berkaitan : Tiada Dana Tambahan Disalurkan Buat Sementara Waktu Kepada FAM & KBS

Artikel berkaitan : FIFA Arah FAM Cari Dalang Sebenar Palsukan Dokumen 7 Pemain Warisan

Didenda & diisytihar kalah walaupun ada yang menang dalam 3 perlawanan

Menerusi laporan Harian Metro, FIFA mendapati bahawa FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam 3 perlawanan antarabangsa Tier 1.

Perlawanan tersebut ialah Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang berkesudahan seri 1-1; Malaysia bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil (4 September ) yang dimenangi Malaysia 2-1; dan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (8 September) yang dimenangi Malaysia 1-0.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, selain daripada pengisytiharan kekalahan, FAM diberi tamparan hebat lagi apabila persatuan tersebut
dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).

Hukuman tersebut telah memberikan kesan besar kerana Malaysia berkemungkinan akan ditolak mata dalam ranking dunia dan sekaligus membuatkan kedudukan pasukan di carta FIFA merosot.

Berikutan itu, FAM bakal mengemukakan permohonan secara bertulis bagi mendapatkan alasan rasmi keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Keputusan rasmi ini bakal menjadi asas bagi FAM menilai langkah seterusnya, termasuklah berkemungkinan membuat rayuan atau tindakan pembetulan.

Pada bulan lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menerusi laporan setebal 64 muka surat memperincikan sebab-sebab penuh mengapa badan induk bola sepak dunia itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain terbabit.

Pemain tersebut ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

FIFA sebelum ini mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) ke atas FAM, manakala setiap tujuh pemain warisan itu didenda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan.

Sebelum ini, FAM mengesahkan pihaknya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA.

Sumber : Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.