Beberapa hari lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes tikam dan gilis yang berlaku di sebuah stesen minyak di Johor Bahru. Kes itu disaksikan ramai orang awam yang sempat merakam kejadian tersebut dan menyebarkannya di laman sosial.
Pada hari Rabu yang lalu, dua orang individu yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam yang berlaku di stesen minyak berkenaan telah ditangkap oleh pihak berkuasa.
“Kami telah menangkap dua orang suspek, masing-masing berusia 19 tahun dan 22 tahun, pada hari Rabu lebih kurang jam 2:30 pagi untuk membantu siasatan,” kata seorang pegawai polis Johor.
Penangkapan dua individu ini telah membawa kepada penemuan empat orang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang juga dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Menurut WORLD OF BUZZ, empat orang suspek lelaki tersebut telah ditangkap oleh pihak polis bagi membantu siasatan awal pagi ini. Bersama dengan dua orang suspek sebelumnya, enam orang suspek tersebut akan ditahan reman selama tujuh hari bermula 27 Disember 2017.
Dalam pembunuhan kejam bertempat di stesen minyak Taman Pelangi Indah tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Ah Chiu telah ditikam dan digilis dengan sebuah kereta BMW berwarna putih selepas si penyerang dikatakan gagal menculiknya.
Isteri Ah Chiu difahamkan tidak tercedera dan berjaya menyelamatkan diri sewaktu cuba mendapatkan bantuan. Majlis pengebumian Ah Chiu telah diadakan pada hari ini dan dihadiri oleh saudara mara serta rakan-rakan terdekat.
Walaupun pihak polis tidak mengeluarkan sebarang laporan susulan sekiranya mereka yang ditangkap bertanggungjawab ke atas pembunuhan yang terjadi, sekurang-kurangnya kita dapat melihat sedikit kemajuan dalam penyelesaian kes ini.
Semoga pihak polis dapat memberikan laporan susulan secepat mungkin terhadap kes ini.
Baca: 7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kes Pembunuhan Lelaki di Stesen Minyak Johor Bahru