Selepas seharian penat bekerja, kadang kala kita memerlukan masa bersendirian untuk menenangkan diri. Ada yang gemar untuk berjalan seorang diri tanpa hala tuju, ada juga yang akan mencari makanan untuk menggembirakan diri sendiri.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan dua orang wanita disangka pengemis ketika sedang duduk di tepi jalan.
Menerusi video tersebut, dua orang wanita itu dilihat sedang duduk di tepi jalan sambil makan burger. Mereka berdua dilihat sedang menikmati makanan tanpa berborak, sambil memandang kamera yang diletakkan di hadapan.
Beberapa saat selepas itu, datang seorang lelaki tua menegur lalu menghulurkan wang untuk membantu wanita yang disangka pengemis itu. Terkejut dengan apa yang terjadi, kedua-dua wanita itu menolak bantuan tersebut dan menerangkan mereka bukanlah pengemis seperti yang disangka.
Sejurus lelaki tua tersebut beredar, kedua-dua wanita tersebut ketawa dengan kuat kerana tidak menyangka ada orang awam yang menyangka mereka ialah pengemis.
https://twitter.com/HumansNoContext/status/1614298861274644482
Ketika artikel ini ditulis, video tersebut sudahpun mencecah 11.4 juta jumlah tontonan. Hasil tinjauan di ruangan komen mendapat rata-rata warganet memuji sikap lelaki tersebut yang sudi membantu orang yang berada di dalam kesusahan.
Tidak kurang juga ramai yang terhibur dengan gelagat wanita tersebut yang ketawa terbahak-bahak selepas dihulurkan duit oleh lelaki itu.
BACA: Individu Boleh Kena Denda RM300 Jika Beri Wang Kepada Pengemis & ‘Busker’ Di Indonesia!