Walaupun menghidapi penyakit kanser otak tahap empat, ia tidak mematahkan semangat dua kanak-kanak ini dari terus berimpian untuk mengerjakan haji di Mekah dan melawat Legoland di Johor Baru.
Kedua-duanya bertemu semasa terlibat di dalam program Relay For Life anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia di Dataran Pahlawan, Melaka. Mohamad Uthman Mohd Saiful, 7 dan Zarifah Zahraa Zamry, 11, walau bagaimanapun tidak dapat menunaikan impian mereka oleh kerana kekangan kewangan dari keluarga.
Uthman dan Zarifah juga telah disahkan menghidapi jenis tumor otak yang sama iaitu medulloblastoma dan dikategorikan sebagai berisiko tinggi. Zarifah telah menjalani sebanyak 33 kali sesi rawatan kemoterapi, manakala Uthman pula 12 kali di Hospital Kuala Lumpur semenjak didiagnosis akan penyakit tersebut pada tahun 2015.
Menurut bapa Uthman, Mohd Saiful Judin, anaknya sudah beberapa kali meminta supaya permintaannya ditunaikan sejak awal tahun ini.
“Anak saya tiba-tiba saja pergi ke ibunya dan memberitahu bahawa dia mahu melihat Kaabah dan pergi ke Legoland.”
Dia juga menambah, percubaannya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung kos perubatan anaknya itu masih tidak berjaya.
“Dengan gaji saya yang tak seberapa sebagai pemandu lori dan tiga orang anak yang perlu saya besarkan, saya tidak mampu.”
Dalam keadaan sebak, Mohd Saiful juga meluahkan hasrat anaknya ingin ke Tanah Suci dengan tujuan untuk “berdoa untuk keamanan dunia dan perpaduan”.
“Anak saya melihat kebanyakan orang yang membantu dan memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga datang dari pelbagai latar belakang. Oleh sebab itulah dia ingin berdoa untuk keamanan dunia dan perpaduan semua… itu adalah permintaannya yang terakhir.“
Manakala bapa kepada Zarifah, Zamry Abd Rasip pula terpaksa berhenti dari kerja oleh kerana ingin menjaga anaknya yang sakit.
“Saya tiada pilihan lain selain berhenti kerja kerana anak saya perlu menjalani rawatan yang berterusan.”
Kedua-dua ibu bapa anak ini akhirnya mengambil keputusan untuk meniaga makanan kepada jiran-jiran mereka di Sungai Petani. Sumber kewangan mereka juga dibantu oleh anak sulung yang sudah berkerja selain dari anaknya itu juga sering menemani adiknya di Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di sana.
Meskipun begitu, bapa kepada enam orang anak ini masih juga tidak mampu menunaikan impian anaknya untuk ke Tanah Suci dan melawat Legoland. Aduhai!
Doakanlah semoga impian murni dua orang kanak-kanak ini tercapai. Semoga mereka juga diberikan kesembuhan untuk menjalani hidup seperti anak-anak lain… Amin!