Bagi pengikut-pengikut K-pop, bila cakap pasal skandal terbesar dalam sejarah industri ni, nama Burning Sun mesti terus muncul kan? Kes yang pernah menggegarkan industri K-pop pada 2019 ini kembali diberi perhatian selepas satu dokumentari tentang kes ini telah dikeluarkan oleh BBC.
Dibuat oleh kumpulan penyiasat BBC World’s Service, BBC Eye, dokumentari ini mengikuti dua wartawan wanita yang telah membongkar kes ini di mata dunia, lima tahun lalu.
Skandal ini melibatkan serangan seksual ke atas beberapa wanita dan pengedaran klip video haram serangan tersebut yang dibuat sendiri oleh beberapa individu lelaki berpengaruh dan kaya di Korea Selatan. Individu tersebut termasuklah ahli kumpulan BingBang Seungri, penyanyi rock, Jung Joon-young dan pemain gitar Choi Jung-hoon.
Manakala dua wartawan, Park Hyo-sil dan Kang Kyung-yoon pula dengan beraninya telah membongkar kes ini walaupun telah mendapat kecaman dari peminat-peminat selebriti yang terlibat.
Dalam dokumentari ini juga, mereka turut menceritakan segala ugutan bunuh dan serangan dalam talian yang diterima mereka. Namun begitu, kerana usaha mereka yang berterusan ini jugalah yang memberikan kekuatan untuk mangsa-mangsa bersuara ke atas selebriti-selebriti ini.
Jadi, jom kita throwback balik skandal Burning Sun yang telah mengejutkan industri K-pop ini.
Artikel berkaitan: Lepas Seungri, Kisah Sejarah ‘Hitam’ Anggota Kumpulan Big Bang Lain Pula Terbongkar
Apa itu skandal Burning Sun?
Skandal ini terbongkar pada tahun 2019 apabila seorang lelaki yang merupakan pelanggan kelab malam didakwa telah diserang di kelab malam Burning Sun. Kelab malam ini sebahagiannya dimiliki oleh ahli BingBang, Seungri dan merupakan tempat popular bagi selebriti-selebriti serta orang kaya untuk dikunjungi. Mangsa tersebut mendakwa yang dia telah diserang dengan ganas apabila dia cuba untuk menyelamatkan seorang wanita yang telah diserang secara seksual di kelab tersebut.
Siasatan ke atas tuduhan itu kemudiannya telah membongkar beberapa jenayah yang dilakukan oleh selebriti-selebriti terkenal di kelab tersebut. Wanita-wanita di sana telah diberikan dadah dan dirogol oleh pelanggan VIP kelab tersebut dan tragedi itu juga turut dirakam tanpa pengetahuan mereka. Video dan gambar tersebut pula kemudiannya disebarkan di dalam satu chatroom rahsia yang turut menceritakan pelbagai butiran tentang serangan tersebut.
Selebriti K-pop mana yang terlibat dalam skandal Burning Sun?
Seungri
Seungri didedahkan sebagai dalang kes ini dan telah didakwa atas beberapa kesalahan termasuklah memperoleh pelacur untuk dirinya dan orang lain, berkongsi video dan gambar yang didapati secara haram, penyelewengan wang, perjudian dan transaksi pertukaran wang haram. Pada Ogos 2021, Seungri telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan didenda sebanyak 1.15 bilion won Korea tapi dia kemudiannya telah membuat rayuan dan hukuman ke atasnya telah dikurangkan sebanyak separuh dan dia telah pun dibebaskan pada Februari 2023.
Jung Joon-young & Choi Jung-hoon
Bagi Jung Joon-young pula, dia telah membuat group chat yang menyebarkan gambar dan video wanita-wanita yang menjadi mangsa serangan seksual di bawah pengaruh dadah dan beberapa video tersebut telah diambil seawal tahun 2015. Jung juga telah memberikan dadah kepada salah seorang peminatnya sebelum merogol wanita malang tersebut secara berkumpulan dengan pelanggan VIP lain termasuk Choi Jung-hoon.
Jung kemudiannya telah didakwa atas kesalahan rogol berkumpulan dan mengambil video secara rahsia serta menyebarkannya. Dia pada awalnya telah menerima hukuman penjara selama enam tahun sebelum dikurangkan kepada lima tahun.
Manakala Choi pula, telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua setengah tahun atas penglibatannya di dalam kes rogol berkumpulan. Kedua-dua mereka kini telah pun dibebaskan.
Roy Kim
Roy Kim telah dituduh berkongsi dan melihat video-video haram namun ditemui tidak terlibat dalam group chat utama. Selepas namanya dibersihkan, Roy Kim telah kembali ke industri muzik pada tahun 2020 sebelum dia disenaraikan untuk mengikuti perkhidmatan ketenteraan mandatori.
Eddy Kim
Eddy Kim telah ditahan kerana menyebarkan video haram di dalam group chat Jung Joon-young sebelum dakwaan ke atasnya digugurkan. Dia dikatakan telah berkongsi satu gambar dari internet di dalam group chat lain. Pada 23 Januari tahun ini, Eddy Kim telah mengeluarkan lagu It’ll be Alright bersama Yoon Jong-shin.
Lee Jonghyun
Bekas ahli kumpulan CNBLUE, Lee Jonghyun mengakui bahawa dia telah menonton beberapa video haram yang disebarkan. Penyanyi ini kemudiannya telah berdiam diri dan memadam kesemua akaun sosial medianya.
Yong Jun-hyung
Yong Jun-hyung tidak didakwa tapi mengakui bahawa dia mengetahui tentang aktiviti haram Jung Jonn-young. Selepas keluar dari kumpulan Highlight pada tahun 2019, Yong telah mendiamkan diri selama tiga tahun sebelum mengeluarkan album solo pada November 2022. Dia kini sedang menjalinkan hubungan dengan HyunA iaitu bekas ahli kumpulan Wonder Girls.
Penglibatan Goo Hara dalam skandal Burning Sun
Korang masih ingat lagi dengan Goo Hara? Penyanyi dan pelakon yang telah membunuh dirinya selepas sering diganggu dan dikecam dalam talian. Baru-baru ini, didedahkan bahawa Goo Hara telah memegang peranan yang penting dalam pembongkaran Burning Sun.
Artikel berkaitan: “Selamat malam” – Ucapan Terakhir Goo Hara Sebelum Ditemui Akibat Depression & Ini Cubaan Kedua?
Dalam dokumentari tersebut, wartawan mendedahkan bahawa mendiang ini telah memberikan maklumat kepada mereka mengenai kes tersebut. Ini termasuklah maklumat yang mendedahkan identiti pegawai polis senior yang telah menjadi rakan subahat dalam skandal ini.
Tak cukup dengan itu, Goo Hara juga merupakan salah seorang mangsa video haram. Dia sedang membuat tuntutan mahkamah terhadap bekas teman lelakinya yang telah mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar intimnya. Malangnya, penyanyi ini telah membunuh dirinya pada tahun 2019 sebelum sempat teman lelakinya itu dihukum.
Sumber: Hello Magazine, Times Now News