Korang pernah tak dengar orang cakap lepas bersenam atau bersukan jangan terus mandi, nanti kena panau. Kena duduk lama sikit sampai peluh kering baru boleh pergi mandi. Pernah kan?
"Ingat ni! Panau berlaku disebabkan oleh malas!"
Bukan sikap malas, tau! Panau adalah penyakit akibat jangkitan kulat bernama Malassezia. Ikuti thread panau ni! pic.twitter.com/syRUk4Q6i5
— Kamarul Ariffin Nor Sadan (@dr_chaku) October 23, 2021
Menerusi perkongsian daripada Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Twitternya, panau sebenarnya bukan berpunca daripada sikap malas seseorang. Akan tetapi, panau merupakan satu penyakit yang diakibatkan oleh jangkitan kulat bernama Malassezia.
Malassezia merupakan sejenis kulat yang hidup di kulit manusia secara seimbang dengan bakteria-bakteria lain. Ia juga merupakan spesis kulat yang suka kepada lipid atau lemak yang banyak terkandung dalam peluh manusia.
Seseorang itu akan mendapat panau jika kulat ini menjangkiti lapisan kulit stratum corneum. Manakala, jangkitan fungal acne atau malassezia folliculitis boleh didapati sekiranya kulat ini menjangkiti folikel rambut.
Cara Mengenalpasti Panau
Menurut Dr Kamarul, antara cara mengenalpasti penyakit panau ini ialah kelihatan tompok putih atau merah jambu di tubuh badan, permukaan berdebu atau berkilat, berbentuk bulat atau bujur bercantum dan rasa gatal di kawasan berkenaan.
Faktor Penyebab Panau
Cuaca yang panas dan lembab merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan panau. Selain itu, peluh yang berlebihan, kulit yang berminyak dan tahap imun yang lemah juga faktor penyebab penyakit ini.
Rawatan Penyakit Panau
Individu yang terjangkiti dengan penyakit ini boleh mencuba sapuan ubat selenium/propylene glycol, sapuan ubat anti-kulat (econazole), ubat makan (oral) untuk kegatalan atau ubat makan (oral) anti-kulat.
Tempoh rawatan bagi penyakit ini memakan masa selama sebulan kerana ia bertujuan menghilangkan kegatalan dan membunuh kulat Malassezia tersebut. Akan tetapi, tompok putih pada kulit masih lagi kelihatan setelah kulit mati.
Hal ini disebabkan tompok tersebut memakan masa berbulan-bulan atau mungkin bertahun untuk hilang. Walaupun penyakit ini berpotensi untuk sembuh, kita dinasihati untuk sentiasa menjaga kebersihan kulit, ambil makanan bernutrisi, dan aktif bersenam supaya imun sentiasa dalam keadaan yang baik.
Akhir sekali, Dr Kamarul ini juga menjawab persoalan bahawa penyakit ini tidak mudah berjangkit kecuali imun badan seseorang itu rendah atau tidak menjaga kebersihan.
Baca: Fuh! Satu Keluarga Jadi Sado Gara-gara Gigih Bersenam Bersama-sama Selama 6 Bulan