Demi mempertahankan ajaran dan ‘Tuhan Harun’, pengikut sanggup membunuh orang yang selalu ‘buat onar’. Siapa Tuhan Harun? Kes bunuh dan konspirasi jenayah ini pernah kecoh di seluruh negara beberapa tahun lepas. Jom kita imbau kembali…

Siapa Harun?

Harun bin Mat Saat dilahirkan pada tahun 1966 di Raub, Pahang. Jom baca sikit tentang Harun ni:
- Selepas habis sekolah, Harun menyambung pengajian di Sekolah Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.
- Memiliki Sijil Tinggi Agama selepas tamat pengajian di Sekolah Pondok Moden, Yayasan Islam Kelantan, Kandis, Bachok.
- Pernah digelar Ustaz Harun ketika tinggal di Batu Talam, Raub
- Merupakan pengamal perubatan tradisional
- Pernah membuka Pusat Rawatan Islam Ar-Redha di Taman Simpang Kalang, Raub.
- Mengubati pelanggan menggunakan rebusan air dan kapsul ubat diperbuat daripada paku pakis yang hidup pada pokok kelapa sawit.
Harun diisytiharkan terpesong dan menyeleweng dari landasan Islam sebenar sehingga menggelarkan dirinya sediri sebagai “Tuhan Harun”.
Salah silah keluarga
Harun mempunyai 3 orang isteri, 7 orang anak kandung dan seorang anak tiri. Isteri pertama bernama Jawahir binti Zakaria,50, kedua pula bernama Shazlidayu binti Mokhtarudin, 33, dan isteri ketiga, Azida binti Mohd Zol, 30 tahun.
Menurut Harun, dia dan Azida yang merupakan seorang pendidik berasal dari Kampung Panji, Kuala Terengganu itu telah bernikah di Thailand. Namun, tiada dokumen yang dapat mengesahkan pernikahan mereka berdua.
Lahirnya ajaran ‘Tuhan Harun’
Harun dikatakan mempunyai 312 orang pengikut setia yang mempercayai ajarannya. Mereka terdiri daripada berbagai latar belakang, muda atau tua, bekerja atau penganggur, berpendidikan tinggi atau tidak.

Kelasnya aktif berjalan di Kampung Pandan dan Bukit Ubi, Kuantan dan dihadiri seramai 40 orang tak kira siang atau malam. Bukan itu je, Harun juga pernah sewa dewan seminar salah satu hotel di Kuantan untuk mengumpulkan semua pengikutnya dari seluruh Malaysia.
Pengikut taat, ajaran mesti dirahsiakan
Ajaran ‘Tuhan Harun’ ada beberapa ciri iaitu:
- Ajaran mesti dirahsiakan. Kalau nak dedahkan, mesti dapat kebenaran Harun terlebih dahulu
- Pengikut taat dan sanggup lakukan apa saja demi menjaga keselamatan ketua mereka termasuklah membunuh.
- Harun banyak tarik pengikut daripada orang yang mempunyai masalah seperti kesempitan kewangan, masalah rumahtangga, masalah anak yang terlibat dalam maksiat, masalah di tempat kerja dan macam-macam lagi.
- Harun mengakui dirinya Tuhan di dalam beberapa buah dokumen bercetak.
- Harun juga pernah mendakwa dirinya adalah Imam Mahdi


Campur tangan pegawai agama, cuba jatuhkan ajaran ‘Tuhan Harun’
Harun sangat benci dengan Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kerana sering mengganggu aktiviti ajaran sesatnya. Dek kerana mempunyai pengikut yang taat dan sanggup melindunginya, wujudlah satu konspirasi jenayah yang dirancang oleh Harun dan isteri ketiganya, Azida.

Tembak mati pegawai JAIP
Pada 10 November 2013, kira-kira jam 1.50 tengah hari Ahmad Raffli Abd Malek telah ditembak mati di hadapan rumahnya dekat Bandar Indera Mahkota, Pahang. Mangsa ketika itu sedang berehat dengan isteri dan seorang anak di ruang tamu.

Harun telah mengarahkan dua pengikutnya untuk ke rumah mangsa dan ketika kejadian, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an memakai jubah hitam dan kopiah putih menyamar untuk meminta derma dan memanggil mangsa keluar rumah.
Sebaik saja membuka pagar, seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 30an keluar dari tempat duduk belakang dan terus tembak dari jarak dekat sebanyak 3 kali sebelum mereka melarikan diri.

Baca lebih lanjut tentang kejadian itu di sini:
Sebuah kereta berhenti parkir di luar rumah. Mahu minta derma katanya. Yang peliknya nombor plat belakang kereta telah dicabut. Tuan rumah pun keluar setelah ucapan salam diberikan. Tanpa diketahui, pembunuh upahan sebenarnya ada dalam kereta tu.
Apa yang jadi? Sambung malam ni
— Sir kamarul (@kamarul14) December 20, 2019
Perbicaraan serentak bersama pengikut
Menurut mStar, pada Jun 2014 Mahkamah Tinggi memberi kebenaran agar permohonan perbicaraan serentak kes bunuh itu dilakukan serentak, bersama 5 pengikutnya.

Pengikut Harun yang didakwa terlibat dalam konspirasi ini adalah:
-
- Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38 (pemandu Harun)
- Jefferi Safar, 37
- Sumustapha Suradi, 39
- Shamsinar Abdul Halim, 37
- Seorang pengikut yang tak didedahkan nama

Dakwaan itu mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Harun meninggal dunia
Pada 16 Ogos 2016, Harun menghembuskan nafas terakhir ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat masalah pernafasan.
Ketika itu usianya 50 tahun dan dia yang menghidap angin ahmar sejak 2013 sedang menjalani ujian kemampuan menghadiri perbicaraan di mahkamah. Jenazah Harun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Talam keesokan harinya pada jam 11.30 pagi.


Hukum gantung
27 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sumustapha Suradi dan Shamsinar Abdul Halim.
Pada prosiding itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman juga melepaskan Azida, Shaizral Eddie Nizam Shaari dan Jefferi Safari daripada tuduhan berkonspirasi melakukan pembunuhan itu pada masa, tarikh dan di tempat yang sama.

Baca: Kematian CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan Diklasifikasi Semula Sebagai Kes Bunuh