Seorang wanita maut kemalangan selepas motosikal yang ditunggang terbabas dan merempuh tembok batu di Kampung Pengkalan, Alor Gajah, pada awal pagi semalam.
Kejadian tragis ini dipercayai berlaku selepas dia dikejar oleh suaminya yang turut menunggang motosikal gara-gara satu pertengkaran.
Pertengkaran bertukar tragedi
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, setakat ini pihak polis masih menyiasat berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima itu dalam nahas yang mengorbankan Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27 tahun.
Artikel berkaitan: Isteri Tunggu Mesej Sampai Terlelap, Rupanya Suami Terlibat Kemalangan Maut Kena Tayar ‘Terbang’
“Ketika dalam perjalanan pulang itu, suami mangsa mengekorinya dari arah belakang menyebabkan mangsa bertindak memecut motosikal yang ditunggang untuk melarikan diri daripada lelaki itu namun terbabas.”
Difahamkan, mangsa sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Melaka Pindah ke arah Jalan Kasa Height.
Ketika melalui selekoh tajam berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, motosikalnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tembok batu.
Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Susulan kejadian ini, suami mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang telah dipanggil oleh pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
Polis juga sedang menyiasat punca sebenar pergaduhan pasangan ini serta akan memanggil suami mangsa bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian