Apabila bergelar seorang pempengaruh media sosial, pasti akan terdedah dengan risiko kritikan dan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak.
Baru-baru ini, seorang TikToker yang sering berkongsi kandungan video tentang dekorasi rumahnya dikecam netizen kerana menggunakan perabot dan barangan elektrik berjenama mewah walaupun menetap di rumah flat.
Sejak beberapa hari lalu, timbul perbalahan dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan taraf hidup Syamimia kerana menggunakan perabot berjenama.
@syamimia_ Rumah flat Syamimia dengan park choy tiram dan telur dadar 🍳 #fyp #rumahflatsyamimia #diariseharimimi #cleaningmotivation #cookingmom #cookingmotivation #cleantok #cookingtiktok
Pihak yang tidak bersetuju menggesanya untuk tinggal di kediaman lain dengan mendahulukan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka yang memerlukan.
Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial yang mengaku sebagai ibu saudara kepada TikToker tersebut tampil mempertahan anak saudaranya dengan menyatakan bahawa dia sudah bersusah payah bergelut mendapatkan rumah terbabit.
“Bagi saya biarlah apa yang dia nak buat tu kehendak dia. Dari kecil dah puas hidup susah. Dia berdikari untuk jadikan rumah itu macam arwah mak dia nak.
“Tak baik tau cakap macam-macam. Ingat senang ke anak yatim nak hidup kat bandar? Bukan dengan simpati orang pun dia dapat semua tu.
“Nak bercakap tu tengok dan kaji sikit hidup orang macam mana,” tulisnya.
Melihat isu tersebut tular, Syamimia tampil memberi penjelasan di TikTok Story, menyatakan bahawa rumah yang didiami sekarang merupakan tinggalan arwah ibunya.
Menerusi perkongsian itu, dia juga memberitahu terpaksa berhenti belajar selepas ibunya meninggal dunia dan mencari kerja untuk melangsaikan semua hutang termasuk pembayaran rumah terbabit.
Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila dapat melunaskan kesemua bayaran tertunggak dan rumah tersebut diberikan kepada sepenuhnya kepadanya.
Tambahnya, dia juga berhasrat akan menghadiahkan rumah tersebut kepada adiknya jika sudah memiliki rumah baharu.