Tular di media sosial pada minggu lalu mengenai seorang remaja lelaki berumur 13 tahun dibiarkan tidur di koridor flat hadapan rumah keluarganya selama berhari-hari dipercayai diabaikan oleh ibu bapa sendiri.
Dalam hantaran itu, remaja berkenaan terpaksa membuang air besar di luar rumah dan diberikan makanan oleh jiran tetangga. Ibu bapa remaja itu juga telah ditahan reman.
Terbaharu, media melaporkan tertuduh iaitu bapa yang berusia 56 tahun telah mengaku bersalah atas dakwaan mengabaikan anaknya.
Artikel berkaitan: “Sampai terpaksa buang air di tangga” – Tular Kes Halau Anak Tidur Di Koridor Flat, Ibu Bapa Ditahan Polis
Artikel berkaitan: Mandi Di Tandas Awam, Jiran Dedah Sudah Setahun Remaja Lelaki Dibiar Ibu Bapa Tidur Di Koridor Flat
Roslan Abas yang juga merupakan pengutip barang lusuh mendakwa anak lelakinya itu enggan masuk ke rumah meskipun sudah dibekalkan kunci.
“Saya ada bekalkan kunci, tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapalah, saya faham, saya mengaku salah sahajalah.”
Namun, hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas berpendapat ia dibuat dengan bersyarat. Hakim juga memberikan peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan.
“Dia (mangsa) suka macam itu, tidak boleh dipukul, saya cakap tidak mahu dengar. Setiap malam saya tidur lewat, tetapi saya selalu intai ke luar, dia tiada pun di depan rumah,” kata tertuduh.
Bagi pertuduhan itu, Roslan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Pengakuan bersalah perlulah dibuat tanpa syarat dan tertuduh perlu mengakui fakta kes. Jika begini, kes akan dibicarakan dan mahkamah beri peluang pada kamu untuk buktikan kamu tidak bersalah,” kata hakim mahkamah.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 dan pengurusan kes dibawa ke 29 Julai nanti. Tertuduh juga dinasihatkan untuk mendapatkan peguam.
Sumber: Berita Harian