Sungguh tak diduga, permintaan untuk tidak beli baju raya tahun ini adalah satu petanda pemergian seorang remaja, Aisar Azim Abdullah, 17 yang meninggal dunia akibat kemalangan yang membabitkan 2 motosikal dan sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, Khamis lepas.
Perkara itu dikongsikan oleh abangnya iaitu Muhammad Aiman, 20 apabila adiknya yang dipanggil Alang itu menyatakan hasrat tersebut pada beberapa hari sebelum kemalangan.
Artikel berkaitan : “Saya ampunkan dosa dia, halalkan susu” – Seorang Lagi Remaja Meninggal Nahas Babit Honda Jazz
Artikel berkaitan : “Saya menyesal” – Kakak Pemandu Honda Jazz Mohon Maaf, Akui Emosi Buat Posting Pertahankan Adik
“Saya tanya kenapa dia tak mahu beli baju raya, dia kata tahun ini tak nak beraya, hanya mahu duduk di rumah. Tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selamanya.”
Dalam pada itu ibunya, Nurha’afza Salwa Hazizan, 41 ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, Sikamat, awal pagi Selasa berkata, arwah anaknya itu seorang yang sentiasa teruja manyambut Syawal dan begitu gemar berpakaian sedondon bersama keluarga.
Namun dia reda dengan ketentuuan Ilahi dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang mengenai kejadian yang menimpa anak ketiganya daripada 10 orang beradik itu.
“Kami sudah bersedia sebaik doktor maklumkan oksigen anak saya menurun hingga 38 peratus dan otaknya sudah mati. Kami bacakan surah Yasin, saya maafkan dan ampunkan dosanya. Dia pergi dengan tenang, seolah-olah sedang tidur.”
“Kali terakhir saya melihatnya pada malam Rabu, ketika dia baru pulang dari rumah kawannya. Itulah kali terakhir saya menatap wajahnya.”
Aisar Azim telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.23 malam tadi selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) sejak 6 Mac lepas.
Jenazahnya telah selamat dikebumikan pada jam 12.40 tengah malam di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah. Seramai hampir 100 ahli keluarga dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Norazman Mohammad turut hadir membacakan doa dan talqin.
Untuk rekod, sebelum ini, terdapat dua pelajar lelaki yang berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1.
Sumber : Sinar Harian