Nampaknya masalah jalan berlubang ini antara derita yang dikongsikan hampir seluruh penduduk dunia dan bukan saja berlaku di Malaysia.
Terbaharu, seorang lelaki dari negara jiran, Thailand, mendapat perhatian umum selepas sekeping gambar dirinya ‘memancing’ di sebuah ‘kolam’. Tapi, apa yang uniknya adalah ‘kolam’ terbabit sebenarnya adalah lubang yang berada di atas sebuah jalan. Memang nampak macam kolam ikan kecik lubang tu, punyalah besar!
Portal Thaiger melaporkan, individu yang tak didedahkan identitinya itu berpura-pura memancing di lubang jalan terbabit sebagai satu cara untuk ‘menganjing’ pihak kerajaan yang mengambil masa terlalu lama untuk membaiki jalan terbabit.
Lubang sebesar kolam ikan kecil itu terletak di Kampung Non Man Thet di atas sebatang jalan raya yang menghubungkan dua daerah berbeza iaitu Non Sung dan Chaloen Phrakiat. Disifatkan penduduk kampung sebagai jalan raya yang ‘lebih lubang dari jalan’, ia sememangnya mendatangkan bahaya kepada pengguna terutama lagi pada musim monsun.
Tak cukup dengan itu, lubang besar terbabit juga terletak betul-betul di hadapan sebuah sekolah.
Menurut lelaki berkenaan, dia sendiri sudah beberapa kali memfailkan laporan berkenaan keadaan jalan tersebut kepada pihak berkuasa dan setiap kali itu, dia diminta untuk bertenang, sabar dan tunggu.
Walau bagaimanapun, tiada tindakan yang diambil kerajaan sejak 10 tahun lalu.
Sumber: Thaiger