Hujung minggu lalu, tular di media sosial video kemalangan sekumpulan motosikal yang dikatakan telah melakukan perlumbaan haram di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu di Georgetown, Pulau Pinang.
Malangnya kemalangan tersebut telah mengorbankan empat nyawa selepas tiga penunggang disahkan meninggal di tempat kejadian, seorang meninggal ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang dan tiga lagi cedera.
Menurut Utusan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata pihaknya telah menerima maklumat melibatkan kemalangan ini pada jam 4.30 pagi semalam.
Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’.
“Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
“Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan.”
“Depa tak fikir perasaan kami baru hilang anak”
Video tular ini malangnya telah mendapat banyak respon negatif dari netizen yang rata-ratanya menyalahkan mangsa serta turut mengecam tindakan mereka yang merempit dan berlumba dengan bahaya.
Kecaman ini jelasnya telah mengguris hati keluarga mangsa kemalangan tersebut di mana salah seorang ibu kepada mangsa yang meninggal Muhamad Eizreel Muhamad yang berusia 25 tahun menceritakan tentang sikap anaknya yang bertanggungjawab dan sering mengambil berat hal keluarga, lapor Harian Metro.
Kami kenal hati budi anak kami macam mana. Orang kecam macam-macam depa tak fikir perasaan kami yang baru hilang anak.
“Arwah anak sulung daripada dua beradik memang minat dengan motosikal, daripada rangka, dia boleh bina jadi sebuah motosikal. Tetapi dia anak yang baik, bertanggungjawab dan ambil berat mengenai keluarga.
Saya ada nasihat dia jangan bawa motosikal laju. Saya juga kenal kawan-kawannya. Mereka anak yang baik serta hormat orang tua.”
Manakala seorang lagi ibu kepada mangsa kemalangan Mohd Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani tidak menyangka akan kehilangan seorang anak selepas baru sahaja mengebumikan anak ketiganya yang turut terkorban dalam kemalangan jalan raya Mac lalu.
Bukan itu sahaja, arwah turut mempunyai adik kembar yang turut terlibat dalam kemalangan yang sama namun berada dalam keadaan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Arwah anak saya rapat dengan keluarga. Kalau dia berjalan ke mana-mana mesti ada sahaja barang yang akan dibawa balik untuk semua orang.
“Dia juga sudah bertunang kira-kira lima bulan lalu.”
Untuk pengetahuan korang, pihak polis kini sedang membuat perancangan untuk menahan individu-individu lain yang terlibat dalam lumba haram tersebut dan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca: Pemandu Treler Terlibat Kemalangan Sebabkan 4 Beranak Maut Rupanya Ada 13 Rekod Kesalahan Trafik