Kadang-kadang, perkara yang kita paling takut boleh berlaku dalam sekelip mata tanpa kita sedar. Dalam rutin harian yang sibuk, fikiran yang sarat dengan pelbagai masalah dan emosi, ada ibu bapa yang betul-betul tak sedar bahawa anak mereka tertinggal di dalam kereta.
Insiden anak tertinggal dalam kereta bukanlah sesuatu yang berlaku kerana ibu bapa tidak ambil peduli. Tiada ibu bapa yang mahu mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak, apatah lagi sehingga boleh terlupa akan kehadiran anak sendiri.
Namun dalam keadaan tertentu, kealpaan boleh berlaku tanpa disengajakan dan sesiapa sahaja boleh terlepas pandang tanpa sempat menyedarinya.
Sebab itulah penting untuk kita melihat isu ini dengan rasa empati sebagai iktibar bersama. Setiap kejadian yang berlaku seharusnya menjadi peringatan agar langkah pencegahan dapat diambil sebelum perkara yang sama berulang.
Sebagai peringatan, artikel kali ini akan menjelaskan beberapa langkah mudah yang boleh diambil supaya kita tidak terlupa dengan keberadaan anak di dalam kereta.
Artikel Berkaitan: Kereta Bukan ‘Playground’, Ini 5 Tips Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Kereta – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Tular Video Berkasar Ketika Beri Kanak-kanak Makan Di Tadika, 2 Individu Ditahan Pihak Polis – Lobak Merah
1. Letak barang anak di hadapan

Sekiranya kerusi keselamatan anak diletakkan di tempat duduk belakang, ibu bapa disarankan untuk meletakkan barangan milik anak seperti beg pakaian, botol susu atau mainan di tempat duduk hadapan iaitu bersebelahan dengan pemandu.
Langkah sekecil ini sebenarnya boleh mencetuskan peringatan visual buat ibu bapa. Ia secara tidak langsung membuatkan ibu bapa sentiasa ingat yang anak mereka ada bersama mereka walaupun andai kata anak itu diletakkan dalam kerusi keselamatan di belakang.
Dengan kaedah ini, diharapkan ibu bapa lebih peka dan sedar dengan kehadiran anak mereka sepanjang perjalanan ke tempat kerja di samping memelihara keselamatan anak tersebut.
2. Letak barang peribadi di belakang

Sebagai langkah tambahan, ibu bapa juga boleh menjadikan barangan peribadi di belakang sebagai peringatan.
Contohnya, ibu bapa boleh letakkan barangan penting seperti beg laptop, beg tangan dan sebagainya di tempat duduk belakang bersama anak sebagai cara untuk meningkatkan kesedaran akan keberadaan anak kecil itu.
Selalunya barang peribadi ni kita akan cari sebaik sahaja kita keluar dari kenderaan. Jadi secara tak langsung, tindakan mencari barangan di belakang akan membantu para ibu bapa sedar dengan kehadiran anak mereka yang masih berada di tempat duduk belakang.
3. Ubah kedudukan kerusi keselamatan

Secara kebiasaannya, kedudukan kerusi keselamatan anak memang diletakkan pada bahagian tempat duduk belakang pemandu. Tapi demi memastikan keselamatan anak terjamin, mungkin ibu bapa boleh ubah kedudukannya supaya kehadiran anak lebih mudah untuk disedari.
Sebagai contoh, kerusi keselamatan anak boleh diletakkan di bahagian tengah tempat duduk belakang untuk memudahkan ibu bapa nampak anak dengan lebih jelas melalui cermin belakang. Kedudukan ini secara tidak langsung membantu anak sentiasa berada dalam pengawasan tanpa perlu menoleh ke belakang.
Dengan setiap perubahan pada rutin sedia ada, risiko terlepas pandang diharapkan dapat dikurangkan demi keselamatan anak-anak yang lebih terjamin.
4. Letak nota atau tetapkan alarm

Antara cara lain yang mudah untuk memastikan anak-anak tidak tertinggal di dalam kereta ialah dengan menulis nota ringkas ‘jangan lupa anak di belakang’ atau ‘ingat ada anak dalam kereta’ pada sticky note untuk dilekatkan di mana-mana permukaan yang mudah kita nampak dalam kereta.
Selain nota, ibu bapa juga boleh menetapkan alarm atau notifikasi pada telefon sebagai peringatan tambahan. Contohnya, alarm boleh diatur mengikut jangkaan masa yang sepatutnya anda tiba di rumah pengasuh anak andai kata ada ibu bapa yang terlepas pandang dan melencong ke tempat lain.
Gabungan peringatan fizikal dan digital ini mungkin mengambil sedikit masa dan menyusahkan urusan harian ibu bapa, tetapi ia merupakan antara usaha yang sangat berharga terutamanya untuk keselamatan anak.
5. Pesan orang lain untuk ingatkan

Selain usaha secara fizikal, ibu bapa juga boleh mendapatkan sokongan daripada pengasuh anak atau pasangan sendiri.
Antara contoh yang jelas adalah ibu bapa boleh minta pengasuh untuk hubungi ibu bapa sekiranya rutin penghantaran anak tidak seperti biasa sebagai langkah tambahan untuk memastikan anak-anak selamat.
Langkah ini juga tidak terhad kepada pengasuh, ibu bapa juga boleh melibatkan pasangan atau ahli keluarga sendiri sebagai peringatan luaran. Pasangan atau ahli keluarga boleh menghantar mesej ringkas atau membuat panggilan untuk bantu mengingkatkan keberadaan anak sebelum tiba ke destinasi yang ingin ditujukan.
6. Sentiasa memeriksa kereta

Yang paling penting sekali, ibu bapa disarankan untuk sentiasa memeriksa kenderaan sebelum keluar ke pejabat. Hanya perlu beberapa minit sahaja, cukup dengan menoleh ke belakang sudah memadai untuk pastikan anak betul-betul tidak lagi berada dalam kereta dan sudah dihantar ke sekolah atau rumah pengasuh.
Walaupun nampak mudah, tapi langkah ini antara langkah yang ramai orang terlepas pandang, terutamanya ketika ibu bapa yang sering tergesa-gesa ke pejabat. Lama kelamaan perkara ini akan menjadi rutin dan ibu bapa akan terbiasa serta lebih peka dengan keselamatan anak-anak walaupun sibuk dengan pekerjaan seharian.
Namun sesungguhnya, tiada siapa di dunia ini sengaja meminta untuk melupakan sesuatu yang sangat penting buat mereka.
Justeru itu, diharapkan semua dapat membuat langkah pencegahan awal demi mengurangkan risiko yang tidak diingini. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat dan panduan berguna buat para ibu bapa di luar sana.
Sumber: Hello Doktor
