Peguam syarie kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Nor Saidah Zakaria menegaskan bahawa lafaz rujuk antara anak guamnya itu dengan bekas suami iaitu Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Red seperti yang didakwa tidak pernah berlaku.
Kata Nor Saidah, Datuk Red mendakwa bahawa ada melakukan lafaz rujuk pada Mei 2024, namun begitu anak guamnya menafikan perkara tersebut dan menegaskan lafaz rujuk secara lisan tidak pernah berlaku.
Artikel berkaitan : Adira Tidak Dimaklumkan Awal, Terkejut Datuk Red Fail Pengesahan Rujuk
Artikel berkaitan : Adira Suhaimi ‘Berguru’ Dengan Andika Putera, Netizen Usik Nak Beli TRX
Minta ahli keluarga Adira turunkan sebarang hantaran pasal Datuk Red

“Ikutkan hari ini adalah sebutan kali pertama kes ini. Pihak Adira menerima saman pengesahan lafaz rujuk pada 18 Disember 2025.”
“Hari ini kami hadir untuk memasukkan wakalah peguam dan pembelaan. Adira bagaimanapun menafikan dakwaan rujuk. Pihak plaintif mendakwa lafaz rujuk berlaku pada Mei 2024, tetapi perkara itu di luar pengetahuan Adira.”
Dalam pada itu, Nor Saidah mengesahkan yang pihak beliau telah menerima notis daripada peguam Datuk Red untuk meminta ahli keluarga Adira untuk menurunkan mana-mana hantaran yang berkaitan dengan Datuk Red di media sosial.

“Hari ini kami juga menerima notis daripada peguam Adnan yang meminta keluarga Adira menurunkan sebarang hantaran berkaitan beliau di media sosial.”
Susulan itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini telah menetapkan 16 Februari nanti sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk pasangan berkenaan.
Peguam yang mewakili Datuk Red iaitu Nor Haiza Marina Mat Ramli, memaklumkan perbicaraan berkenaan akan dijalankan secara tertutup dan dihadiri kedua-dua pihak.
Untuk rekod, Adira dan Datuk Red telah mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan mereka bercerai pada 24 April 2024. Mereka dikurniakan 4 cahaya mata.
Sumber : Berita Harian
