Sejak berkahwin, Siti Elizad tidak pernah berhenti daripada terus berdoa dan berusaha untuk memiliki cahaya mata sendiri walaupun usia perkahwinan mereka sudah mencecah lapan tahun.
Pelakon dan penyampai radio Sinar FM itu baru-baru ini berkongsi satu hantaran di laman Instagram miliknya, menzahirkan rasa terharu apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan kehamilan buat dirinya.
Menerusi perkongsian itu, Tunku Azizah dikatakan mengusap perut Elizad dan turut mendoakan agar impiannya dimakbulkan Allah nanti.
“Saya baru balik dari Haji ni (sambil usap perut kita). Insya-Allah ada rezekinya nanti, ikhtiar lagi,” tulisnya.
Elizad menyatakan rasa terharu dan berterima kasih di atas doa yang dititipkan Raja Permaisuri Agong buat dirinya.
“Tak nak apa-apa, nak minta aminkan je,” tulisnya lagi.
View this post on Instagram
“Insya-Allah akan ada rezeki”
Menjengah ke ruangan komen, peminat dan juga rakan artis turut mendoakan buat pelakon berusia 39 tahun itu. Ramai memberikan kata-kata positif dan semangat kepada Elizad untuk terus berusaha mendapatkan zuriat.
Terdahulu, Elizad pernah menerima panggilan Tunku Azizah yang berkongsi pengalaman melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) dalam usaha untuk memperoleh cahaya mata.
Tunku Azizah mengatakan baginda pernah menjalani proses rawatan IVF sebanyak 17 kali sebelum disahkan hamil.
Sebelum ini, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali pertama pada hujung tahun 2020 namun mengalami keguguran.