Seperti yang kita sedia maklum, sehingga hari ini, belum ada rawatan khusus mahupun ubat antivirus untuk jangkitan Covid-19 dan ini jelas telah diberitahu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu edaran Soalan Lazim berkenaan Covid-19.
Namun, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mendakwa sesetengah produk mampu untuk merawat dan mengelakkan dari jangkitan ini. Seperti yang berlaku kepada sebuah premis di Petaling Jaya baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro, ubat yang dijual di atas talian tersebut didakwa kononnya mampu menyembuh dan mengelakkan seseorang dari terkena jangkitan virus Covid-19 ini. Sempat popular di media sosial dan menjadi buruan ramai, ubat yang dimaksudkan ini rupanya diseludup masuk dari China dan tidak mendapat kelulusan KKM.
Kegiatan penjualan ubat ini walaubagaimanapun telah dikenalpasti dan premis perniagaan mereka di Petaling Jaya telah diserbu oleh Cawangan Penguatkuasa, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) selepas menerima aduan penjualan produk tanpa kelulusan KKM baru-baru ini.
Hasil dari serbuan, sebanyak 101 buah kotak produk ubat beranggaran RM2,500 telah dirampas. Lebih mengecewakan, sebenarnya ia merupakan rampasan kali kedua dilakukan di premis yang sama terhadap produk yang sama selepas serbuan pertama pada Oktober tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, produk yang tidak berdaftar dengan KKM ini didakwa kononnya boleh menyembuhkan penyakit Covid-19 secara kendiri.
Secara tidak langsung ia dikhuatiri boleh mendatangkan kesan sampingan buruk ke atas kesihatan sekiranya penggunaannya berterusan dilakukan tanpa pemeriksaan atau rawatan kesihatan oleh pengamal perubatan yang berdaftar.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang boleh membawa hukuman denda RM25,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali terhadap pemilik premis,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual di dalam talian selain memastikan produk kesihatan itu mematuhi keperluan undang-undang dikuatkuasakan.
Kesahihan nombor pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik boleh dilakukan di laman web ini atau hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
Sumber : Harian Metro