Isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor mohon agar dirinya dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7.1 juta serta 5 lagi pertuduhan gagal isytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menerusi laporan Berita Harian, Rosmah menjelaskan yang dia ada hak substantif dan perlembagaan untuk dilayan secara saksama, selain hak perundangan substantif mengikut Bahagian VI Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan rayuan terhadap sebarang taksiran dilakukan LHDN yang jelas dinafikan kepadanya.
Artikel Berkaitan : “Lepastu keluar gambar seburuk-buruk alam” – Rosmah Mansor ‘Sound’ Photographer?
Artikel Berkaitan : Ini 11 Sebab Kenapa Zahid Dilepaskan Tanpa Dibebaskan Dari 47 Pendakwaan Yayasan Akalbudi
“Pertuduhan terbabit secara asasnya berlandaskan bahawa saya kononnya gagal untuk memfailkan pulangan diperlukan di bawah Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), bertentangan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.”
“Oleh itu, saya didakwa melakukan kesalahan berdasarkan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.”
“Saya percaya bahawa pertuduhan itu adalah defektif, pramasa dan tidak konklusif kerana tiada perintah, arahan, permintaan serta tuntutan wujud yang menyatakan bahawa jumlah dinyatakan dalam tuduhan tertakluk kepada pembayaran cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.”
Rosmah turut menegaskan bahawa tiada sebarang perintah, arahan, permintaan dan tuntutan daripada LHDN dan dakwanya ia sekaligus telah melanggar peruntukan perundangan.
“Sebarang perintah, arahan, permintaan dan tuntutan bahawa jumlah berkenaan dikenakan pembayaran cukai adalah tertakluk kepada peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 yang secara khususnya berdasarkan Seksyen 4 akta itu.”
Katanya pada waktu itu, Ketua Pengarah LHDN tidak pernah menyerahkan kepadanya apa-apa taksiran, permintaan dan tuntutan seperti mana yang telah diperuntukkan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, yang menjadikan jumlah terbabit boleh dikenakan bayaran.
“Dalam apa keadaan pun, Ketua Pengarah LHDN kini disekat oleh had masa untuk berbuat demikian,” katanya sambil menjelaskan, forum yang ada hak untuk menentukan jumlah yang tertakluk pada pembayaran cukai adalah Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya mahkamah.”
“Malah, mahkamah jenayah bukan forum yang sesuai bagi penentuan itu. Jika mahkamah jenayah meneruskan dengan penentuan itu, maka ia akan mengambil alih fungsi SCIT yang juga adalah badan diberi kuasa melalui undang-undang.”
“Saya ada hak substantif untuk merujuk sekiranya jumlah itu tertakluk pembayaran cukai kepada SCIT yang dinafikan kepada saya dalam pertuduhan ini. Pertuduhan terbabit jelas ada motif untuk menindas hak substantif yang dijanjikan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.”
Prosiding kes ini dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy yang disertai Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn dan peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, afidavit itu disahkan difailkan semalam. Muniandy menetapkan bahawa permohonan untuk membatalkan pertuduhan terbabit akan didengar semula pada 13 Disember nanti.
Sumber : Berita Harian