Keputusan kerajaan Israel menembak mati ratusan buaya di sebuah ladang ternakan di Petza’el, Lembah Jordan, mencetuskan bantahan besar-besaran daripada aktivis alam sekitar dan kebajikan haiwan. Operasi yang berlaku pada Ogos lalu itu didedahkan baru-baru ini oleh Pentadbiran Awam Israel dan Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Negara.
Menurut pihak berkuasa, tindakan tersebut merupakan langkah keselamatan selepas penilaian mendapati ladang itu berada dalam keadaan uzur dan mempunyai rekod pelanggaran keselamatan berulang. Mereka mendakwa musuh berpotensi menceroboh kawasan berkenaan dan melepaskan ratusan buaya ke kawasan penempatan di Tebing Barat, sekali gus mencetuskan ancaman kepada orang awam.

Bagaimanapun, organisasi kebajikan haiwan termasuk Let the Animals Live, Animals Now, Freedom Farm Sanctuary dan Keren Or Sanctuary mengecam tindakan itu sebagai keterlaluan dan tidak berasas. Mereka mendakwa kerajaan gagal menjelaskan keperluan membunuh keseluruhan populasi buaya dan menuntut siasatan bebas dijalankan segera.
Pihak berkuasa mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan ladang itu telah lama diingatkan mengenai pagar keselamatan rosak, akses haram oleh pengunjung serta insiden buaya terlepas yang memerlukan campur tangan kerajaan. Walaupun mengakui tekanan awam semakin meningkat, kerajaan menegaskan operasi itu dilakukan di bawah permit sah dan selaras dengan piawaian antarabangsa penternakan buaya.
Beberapa pertubuhan hak haiwan bagaimanapun mempersoalkan ketelusan maklumat kerajaan, terutama apabila laporan penilaian menunjukkan hampir semua buaya berada dalam keadaan baik kecuali seekor yang cedera. Mereka menyifatkan perkara itu menimbulkan persoalan besar tentang keperluan sebenar pembunuhan meluas tersebut.
Sumber: Sinar Harian
