Nampaknya pihak Twitter tidak begitu gembira dengan kemunculan aplikasi baharu di bawah syarikat Meta apabila Threads kini mencapai 50 juta pengguna dalam masa sehari selepas pelancarannya semalam.
Twitter dilaporkan telah mengancam untuk menyaman Meta susulan pelancaran Threads dengan mendakwa bahawa aplikasi baharu itu telah melakukan penyelewengan serta menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek lain.
Memetik sumber Berita Harian, dalam surat yang dihantar pihak Twitter kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, mereka menuduh Meta telah mengambil puluhan pekerja Twitter yang mempunyai akses rahsia dalaman perdagangan Twitter serta maklumat sulit yang lain.
Bagaimanapun, Meta membidas dakwaan itu dengan menyatakan tiada seorang pun jurutera Threads yang merupakan bekas pekerja Twitter, lapor Astro Awani.
Sementara itu, Elon Musk berkata, “Persaingan adalah baik, namun bukan peniruan,” sebagai respon terhadap isu hak cipta kedua-dua platform tersebut.
Aplikasi Threads menjadi pencabar terbesar kepada Twitter milik Musk. Sebelum ini, muncul beberapa siri pesaing, namun belum ada yang mampu menggantikannya sebagai antara pentas media sosial terbesar dunia.
Threads dilancarkan menerusi Play Store dan Apple Store di 100 negara sejak semalam, dengan rata-rata pengguna menyatakan wujud persamaan tertentu dengan Twitter.
Sejak Twitter di bawah Musk, timbul beberapa isu dan ramai yang tidak menyukai kaedah pengurusan Musk yang melakukan pelbagai perubahan secara tiba-tiba.
Baca: “Rate limit exceeded”- Twitter Hadkan Jumlah Posts Yang Pengguna Boleh Baca Dalam Masa 1 Hari