Seorang pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor mengheret seorang guru ke mahkamah atas dakwaan gangguan seksual terhadapnya empat tahun lalu ketika dia berusia 13 tahun.
Memetik laporan Malaysiakini, pelajar itu mendakwa guru tersebut melakukan gangguan itu sebanyak dua kali pada tahun 2019.
Plaintif, yang kini berusia 17 tahun, memfailkan saman pemula terhadap guru Bahasa Melayu yang juga jurulatih hokinya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2022.
Artikel berkaitan: Guru Kaunseling Sekolah Direman, Buat Gangguan Seksual Depan Murid & Anak Sendiri
Menurut kes, gangguan pertama berlaku ketika guru terbabit memanggilnya ke bilik sukan sekolah dengan alasan untuk berbincang prestasinya dalam hoki.
Dakwanya, guru itu secara tiba-tiba meminta untuk mengambil gambarnya atas alasan dia adalah kapten hoki kemudian mengarahkannya untuk membuat beberapa posisi dan gaya semasa dia mengambil gambar. Katanya, dia terpaksa akur mematuhi arahan guru itu termasuk arahan posisi yang janggal.
Guru hantar WhatsApp minta ambil gambar
Kejadian kedua pula berlaku pada musim cuti sekolah apabila guru itu menghantar mesej WhatsApp mengarahkannya menangkap beberapa gambar dirinya.
Katanya, guru terbabit mengarahkannya untuk mengambil gambarnya dalam pelbagai posisi termasuk merangkak.
Dia mendapati gangguan yang berlaku terhadap dirinya turut berlaku kepada beberapa ahli pasukan hokinya.
Pernah guru itu meminta pelajar terbabit merakam dirinya semasa sakit di rumah namun ditolak menyebabkan guru terbabit memadam mesej berkenaan.
Pelajar itu menjelaskan kepada keluarganya kemudian berulang kali mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa pihak sekolah, yang didakwa mengaku tentang perbuatan gangguan seksual guru terbabit tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadapnya.
Pengetua, guru, menteri antara yang turut disaman
Melalui saman mahkamh itu, pelajar terbabit menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan bukan sahaja daripada guru itu malah sepuluh defendan lain iaitu pengetua sekolah, empat guru penolong kanan sekolah, seorang guru disiplin, pengarah pendidikan Selangor, menteri pendidikan ketika kejadian dan Kementerian Pendidikan, serta kerajaan persekutuan.
Berikutan kejadian itu, dia mengalami trauma, tekanan emosi yang teruk termasuk hilang keyakinan diri dan minat dalam aktiviti harian.
Sumber: Malaysiakini