
Bagi penggemar filem seram, anda mesti sudah biasa dengan trick hantu memusing kepalanya ke belakang untuk menakut-nakutkan mangsa. Tapi percaya atau tidak, trick seperti ini boleh juga dilakukan oleh manusia biasa. Haa??
Seorang remaja lelaki dari Pakistan, Muhammad Sameer tular di media sosial baru-baru ini oleh kerana kebolehannya memusing kepala seperti burung hantu!


Menurut Nextshark, Sameer yang baru berusia 14 tahun ini mempunyai leher yang sangat fleksibel hingga membolehkannya memusingkan tengkuk 180 darjah untuk memandang orang di belakang. Haa jangan berani-berani nak tikam belakang Sameer ni. Dia boleh nampak tau!
Dengan kebolehan yang dimilikinya, Sameer yakin ia adalah peluang baik untuknya mengembangkan bakat ke Hollywood. Menurut Daily Mail, remaja ini juga berharap bakatnya boleh membantunya untuk mendapatkan sebuah watak yang sesuai di dalam filem.
“Pada ketika itu, saya berusia enam atau tujuh tahun semasa saya melihat seorang pelakon daripada filem seram di Hollywood memusingkan kepalanya untuk melihat ke belakang. Ia buat saya tertarik. Saya mula berlatih untuk melakukannya dan dalam masa beberapa bulan, saya berjaya,” kata Sameer.
Pun begitu, kelakuannya tidak begitu disukai ibu hingga wanita tersebut pernah menamparnya di pipi kerana bimbang aksi tersebut boleh mencederakannya.
“Emak tampar saya apabila dia melihat saya berbuat seperti itu dan dia pesan supaya saya jangan buat lagi kerana takut saya tercedera. Tapi lama-kelamaan dia sedar yang ini adalah kurniaan Tuhan.
“Ia adalah impian saya untuk bekerja seperti pelakon tersebut di dalam filem seram Hollywood,” tambahnya lagi.


Walau bagaimanapun, kehidupan Sameer tidak semudah yang disangkakan. Dia telah berhenti dari sekolah dan mula bekerja pada usia yang muda untuk menanggung keluarga selepas bapanya yang berusia 49 tahun jatuh sakit.
Terdahulu, bapa Sameer telah bekerja di kilang kain. Namun lelaki itu terpaksa berhenti daripada kerja selepas terkena serangan jantung dua kali pada tahun yang sama. Sejak daripada itu, bapanya tidak begitu sihat dan semua tanggungjawab jatuh ke bahu Sameer. Kesiannya…
“Dia hanya seorang budak tapi kami tiada jalan lain. Saya mahu dia belajar dan cemerlang namun takdir telah menentukan yang lain,” kata ibu Sameer, Ruksana Khan.
Sungguhpun begitu, remaja tersebut kini telah menjadi salah seorang daripada ahli kumpulan Dangerous Boys yang terdiri daripada sembilan orang yang membuat persembahan di sekitar Karachi, Pakistan.

Melalui setiap persembahan yang diadakan, Sameer memperoleh bayaran antara $7 (RM29) ke $13 (RM54) atau kira-kira $131 (RM550) ke $157 (RM658) sebulan.
“Saya bekerja supaya saya boleh bantu keluarga. Oleh kerana kekurangan pendapatan, saya tak mahu empat orang adik perempuan saya berhenti belajar.
“Saya juga sedang memperbaiki kemahiran tarian, aksi gimnastik dan lakonan demi mencari peluang pekerjaan yang baik untuk menampung keluarga dan penuhi impian saya. Saya berharap dapat menonjolkan bakat ini di layar perak satu masa nanti,” kata Sameer.

Harap-harap apa yang diimpikan Sameer menjadi kenyataan pada suatu masa nanti. Jangan putus asa dan teruskan usaha. Mana tahu ada pengarah yang berminat dengan bakat yang dia ada.
Baca: Berani Gila! Gadis Ini Bela Biawak dan 26 Jenis Ular Termasuklah Tedung Selar!