Kebanyakan orang mesti kenal dengan watak badut seram Pennywise yang popular dalam filem seram IT kan?
Dengan kostum yang menampakkan dahi yang luas, gigi serta makeup yang menyeramkan sudah tentu menggambarkan imej yang menakutkan kepada penonton.
Namun, pernahkah anda lihat bagaimana pula rupa Pennywise versi comel?
Inilah yang berlaku kepada seorang bayi berusia 18 bulan bernama Masie Saward yang wajahnya kelihatan seperti Pennywise versi comel gara-gara insiden lucu yang berlaku di rumahnya baru-baru ini di Blackfield, Hampshire, England.
Menyapu hair removal cream pada rambut
Lapor The Sun, Maisie dikatakan telah merangkak ke bilik air tanpa disedari oleh ahli keluarganya.
Dia kemudiannya telah mengambil tiub hair removal cream dan menyapunya ke rambut dalam cubaan untuk meniru perbuatan ayahnya yang selalu menyapu gel pada rambut.
Setelah perbuatannya menyapu hair removal cream ke rambut disedari oleh ayahnya, ayahnya pantas cuba untuk membasuh rambut anaknya namun sudah terlambat.
Nak buat macam mana, nasi sudah menjadi bubur.
Botak dari dahi sehingga ke tengah kepala
Rambut depan Maisie yang pada awalnya adalah sepanjang 3 inci telah tertanggal sepenuhnya sehingga ke tengah kepala. Hal ini menampakkan rambutnya botak bermula dari dahi sehingga ke tengah kepala!
Ahli keluarganya telah menyamakan penampilan baru Maisie dengan watak badut seram iaitu Pennywise yang terkenal dengan dahinya yang luas dan berambut merah keperangan sama seperti keadaan Maisie sekarang.
Ibunya, Kirsty Saward dikatakan sangat terperanjat setelah dia pulang ke rumah dan melihat keadaan rambut anaknya.
Ibu kepada 3 cahaya mata itu berkata suaminya ada menelefon dan memberitahunya yang anaknya itu tiada lagi rambut depan tetapi talian tiba-tiba terputus. Kirsty beranggapan bahawa anaknya itu hanya terpotong rambut sendiri disebabkan bermain dengan gunting.
Bila saya sampai di rumah, saya sangat terkejut. Dia (Massie) datang dan peluk saya. Saya menangis selama sejam kerana saya sangat sayangkan rambut depannya
Kirsty juga memberitahu yang dia sangat menyesal keluar rumah pada hari tersebut. Dia juga tidak bertegur sapa dengan suaminya selama beberapa jam.
Alahai, suami pulak jadi mangsa.
Namun kemarahan ini tidak lama. Pada keesokan harinya, Kirsty mula berasa terhibur dengan penampilan baru anaknya itu.
Anaknya itu kelihatan lucu apabila cuba untuk menggosok kepalanya seperti kebiasaan. Namun disebabkan botak, anaknya itu berasa pelik tetapi tetap cuba untuk menggosok kawasan yang botak itu berulang kali.
Peringatan buat ibu bapa supaya jangan letak barang-barang macam tu di tempat yang boleh dicapai anak-anak.