Ramai tahu, Singapura merupakan sebuah negara yang terkenal dengan peraturan ketat dan sesiapa yang melanggarnya akan menerima hukuman yang boleh dikatakan agak berat.
Seperti yang berlaku kepada seorang lelaki warganegara Malaysia, individu ini telah dijatuhi hukuman penjara gara-gara melanggar arahan pegawai polis di Pusat Pemeriksaaan Woodlands.
Memetik sumber Mediacorp, lelaki bernama Mohd Shahrir Johari, 36, mengaku bersalah pada Khamis (13 April) atas tuduhan bertindak terburu-buru atau cuai yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas Shahrir dan melarangnya daripada memandu selama 12 bulan.
Potong barisan sebab lewat
Ketika insiden berlaku pada 23 Mac lalu, Shahrir yang menawarkan khidmat kereta mewah sedang menuju ke Pusat Pemeriksaan Woodlands dan lewat untuk mengambil penumpangnya.
Melihat tindakan lelaki itu yang cuba memasuki lorong kereta dari lorong bas, seorang pegawai polis segera memberi isyarat kepadanya supaya membuat pusingan U, namun dia tidak mengendahkannya dan terus memotong barisan.
Pegawai polis terbabit kemudian berdiri di hadapan kereta itu untuk menghalangnya daripada memasuki lorong kereta.
Lelaki tersebut beberapa kali menggerakkan keretanya ke hadapan sehingga menyentuh kaki pegawai terbabit. Insiden itu menyebabkan Shahrir segera ditahan pegawai imigresen.
Difahamkan, individu yang melanggar peraturan dengan mencuba untuk memotong barisan di situ, diarahkan untuk membuat pusingan U menuju balik ke Malaysia.
Mereka yang didapati bersalah bertindak terburu-buru atau cuai sehingga membahayakan nyawa orang lain, boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya.
Baca: Singapura Bakal Lulus 16 Jenis Serangga Sebagai Makanan Orang Awam