Umum mengetahui bahawa kanak-kanak dan bayi adalah antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak COVID-19. Disebabkan itu, ramai ibu bapa yang mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga demi melindungi anak-anak mereka.
Di Jepun, ibu bapa di negara terbabit mempunyai cara tersendiri bagi ‘menunjukkan’ bayi mereka yang baru lahir kepada ahli keluarga yang tidak dapat melawat akibat pandemik.
Lapor The Guardian, digelar Rice Baby, ibu bapa di Jepun menghantar sepaket beras yang beratnya sama seperti anak mereka yang baru sahaja dilahirkan. Lebih kreatif, ada juga beras ini yang dibalut dengan selimut dan ditampalkan gambar bayi yang baru dilahirkan.
Difahamkan, dengan cara ini, ahli keluarga yang tidak dapat bersua muka dengan bayi yang baru lahir dapat merasa seakan-akan mereka memeluk bayi itu dengan kiriman beras terbabit.
Harga yang berbeza akan dikenakan kepada ibu bapa yang mahu menempah Rice Baby ini mengikut berat bayi mereka yang baru dilahirkan. Di sesetengah kawasan, mereka mengenakan bayaran 3,500 yen (RM135.34) bagi sepaket beras dengan berat 3.5kg.
Jelas pemilik kedai beras Kome no Zoto Yoshimiya, Naruo Ono, beliau mendapat idea untuk mengambil pesanan menghasilkan Rice Baby selepas beliau melahirkan anak lelakinya 14 tahun yang lalu.
“Saya terfikir apa yang boleh saya lakukan untuk ahli keluarga yang tinggal jauh dan tak dapat nak jenguk bayi. Begitulah terhasilnya idea Rice Baby yang mempunyai berat dan bentuk yang lebih kurang sama dengan bayi yang baru dilahirkan untuk memberi peluang kepada keluarga lain untuk merasa seakan-akan mereka memegang anak saya,” katanya.
Selain menghasilkan Rice Baby yang khusus buat ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, Ono juga menawarkan servis paket beras untuk majlis perkahwinan.
“Untuk majlis perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan akan beri ibu bapa masing-masing Rice Baby dengan gambar mereka semasa bayi sebagai tanda penghargaan kerana melahirkan mereka,” katanya.
Tambah Ono, servis Rice Baby untuk majlis perkahwinan menjadi lebih popular berbanding Rice Baby untuk golongan baru menimang cahaya mata susulan penularan pandemik COVID-19 di negara itu yang menyukarkan penduduk mengembara dan menghadiri majlis sosial.
Untuk pengetahuan, Rice Baby atau juga dikenali dengan nama Dakigokochi sebenarnya sudah wujud di negara matahari terbit semenjak awal tahun 2000. Namun, Rice Baby kembali popular disebabkan penularan pandemik.
Sumber: The Guardian, Oddity Central