in

Christopher Duntsch: Kisah Lelaki Bunuh & Cederakan Pesakit Hingga Digelar ‘Dr Death’

Collage 7 13

Gara-gara seorang doktor bedah, Christopher Duntsch atau diberi gelaran sebagai “Dr Death”, berpuluh pesakit di kawasan Dallas, Texas telah bangun dari pembedahan dengan kesakitan yang dahsyat, rasa kebas atau lumpuh. Lebih teruk lagi, ada di antara dorang yang tak bangun langsung.

Perbuatan Duntsch mula terbongkar dan diketahui ramai selepas satu podcast yang dinamakan sebagai Dr. Death telah mendedahkan perbuatan jenayah pakar bedah ini serta menunjukkan bagaimana penyalahgunaan dadah dan sifat terlalu yakin dengan diri sendiri boleh menyebabkan dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Kehidupan awal Christopher Duntsch

Duntsch Surgery Mugshot

Christopher Daniel Duntsch dilahirkan di Montana pada 3 April 1971 dan dibesarkan bersama tiga adik beradiknya di kawasan pinggir bandar mewah yang terletak di Memphis, Tennessee. Bapanya merupakan seorang mubaligh Kristian dan ahli terapi fizikal manakala ibunya merupakan seorang guru sekolah.

Duntsch telah menerima ijazah sarjana muda dari Universiti Memphis dan tinggal di bandar tersebut untuk menerima M.D. dan Ph.D. dari Pusat Kesihatan Universiti Tennessee. Malah ketika sedang belajar dalam bidang perubatan, Duntsch telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang sehingga dia dibenarkan untuk menyertai Persatuan Kehormatan Perubatan Alpha Omega yang berprestij.

Duntsch kemudiannya telah menjalani latihan pembedahan di Universiti Tennesse di Memphis dan menghabiskan masa selama lima tahun untuk belajar tentang pembedahan otak dan setahun untuk pembedahan am. Ketika ini juga, Duntsch turut menguruskan dua makmal dan berjaya mengumpul jutaan ringgit untuk pembiayaan geran.

Tapi, tak lama lepas ini, kerjaya Duntsch yang dilihat sempurna mula terungkai.

Kejatuhan Christopher Duntsch

Dr Death Surgery

Sekitar tahun 2006 dan 2007, Duntsch mula berubah. Menurut Megan Kane, bekas teman wanita salah seorang rakan Duntsch, dia pernah nampak lelaki ini makan kertas yang telah disaluti dengan dadah jenis LSD serta mengambil ubat tahan sakit terkawal semasa hari lahirnya.

Tak cukup dengan itu, Duntsch juga telah menyimpan dadah jenis kokain di dalam pejabatnya. Kane juga turut mengatakan yang dia pernah menghadiri parti yang penuh dengan dadah jenis LSD dan kokain bersama teman lelakinya dan juga Duntsch sebelum melihat doktor ini menyarungkan kot makmal dan pergi bekerja.

Seorang doktor di hospital tempat Duntsch bekerja mengatakan yang lelaki ini pernah dihantar ke satu program selepas dia enggan mengambil ujian dadah. Namun begitu, Duntsch tetap dibenarkan untuk menghabiskan latihan pembedahannya di sana.

Selepas tamat latihan, Duntsch telah menyibukkan dirinya dengan melakukan kajian sebelum dia direkrut dari Memphis untuk menyertai Institut Tulang Belakang Invasif Minima di Dallas Utara pada musim panas 2011.

Setibanya di sana, Duntsch telah berjaya mendapatkan satu perjanjian dengan Pusat Perubatan Wilayah Baylor dan diberikan hak untuk melakukan pembedahan di hospital.

Mangsa-mangsa Dr. Death

Selama dua tahun, Duntsch telah melakukan pembedahan ke atas 38 pesakit di kawasan Dallas. 31 dari 38 pesakit tersebut telah mengalami lumpuh atau kecederaan serius selepas pembedahan manakala dua dari mereka meninggal ekoran komplikasi semasa pembedahan.

Namun begitu, Duntsch telah berjaya menarik minat pesakit-pesakitnya untuk menjalani pembedahan melalui keyakinan dirinya yang tinggi.

Dr Mark Hoyle, seorang pakar bedar yang bekerja dengan Duntsch dalam salah satu pembedahan memberitahu bahawa lelaki ini sering membuat pengumuman yang kedengaran lagak dan sombong.

Semua orang buat pembedahan dengan cara yang salah. Aku sorang je yang boleh buat pembedahan invasif minima yang bersih di seluruh negara.”

Sebelum bekerja dengan Duntsch, Hoyle tak tahu apa yang dia rasa tentang rakan sekerjanya itu. Menurutnya, mungkin Duntsch memang seorang pakar bedah yang sangat-sangat bagus atau dia seorang yang sombong dan ingat diri sendiri bagus.

Duntsch hanya menjalankan satu pembedahan dengan Institut Tulang Belakang Invasif Minima sebelum dia dipecat dan telah meninggalkan tempat tersebut untuk pergi ke Las Vegas.

Walaupun dipecat dari institut tersebut, Duntsch masih lagi seorang pakar bedah di Baylor Plano. Salah seorang pesakitnya yang telah mengalami kesan yang teruk selepas pembedahan merupakan teman lelaki Megan Kane dan rakan Christopher Duntsch sendiri, Jerry Summers.

Pada Februari 2012, Summers telah menjalani pembedahan gabungan tulang belakang elektif. Tapi bila dia bangun, dia telah mengalami lumpuh ‘tak lengkap’ dari leher ke bawah. Ini bermakna, Summers masih boleh rasa sakit tapi tak boleh gerakkan tubuh badannya.

1486412251 Summers

Ekoran ini, lesen pembedahan Duntsch telah digantung sementara dan kemudian selepas boleh melakukan pembedahan semula, dia telah melakukan pembedahan ke atas seorang pesakit berusia 55 tahun, Kellie Martin.

Selepas terjatuh di dapur, Martin telah mengalami sakit belakang yang kronik dan mahu menjalani pembedahan untuk menyelesaikan masalahnya itu. Namun, Martin menjadi mangsa pertama Duntsch yang meninggal dunia selepas dia telah kehilangan darah di dalam ICU selepas membuat pembedahan yang dikategorikan sebagai biasa itu.

Duntsch kemudiannya telah meletakkan jawatan di Baylor Plano pada April 2012 sebelum sempat mereka memecatnya. Dia kemudiannya telah menyambung kerjayanya di Pusat Perubatan Dallas.

Pembedahan pertamanya di sana sekali lagi telah menyebabkan kematian. Floella Brown telah menjalani pembedahan dengan Duntsch pada Julai 2012 dan tak lama selepas itu, wanita ini telah mengalami strok kerana Dr. Death telah mengelar arteri vertebra ketika pembedahan.

Hari yang sama Brown alami strok, Duntsch telah menjalani satu lagi pembedahan ke atas pesakit berusia 53 tahun, Mary Efurd. Dia datang untuk menjalani pembedahan menyatukan dua vetebra, tapi apabila dia bangun dia mengalami kesakitan yang teruk dan tidak boleh berdiri. Imbasan CT mendedahkan bahawa akar saraf Efurd telah dipotong, dan terdapat beberapa lubang skru di tempat yang tak sepatutnya, dan satu skru telah tersangkut pada akar saraf yang lain.

Kehidupan Duntsch di penjara

Ae Ap 17045842330508

Dr. Death telah dipecat sebelum dia sempat menghabiskan minggu pertamanya ekoran kerosakan yang dia lakukan ke atas Brown dan Efurd.

Selepas beberapa bulan melakukan pembedahan gagal, lesen pembedahannya telah ditarik secara kekal pada Jun 2013 selepas dua orang doktor mengadu kepada Lembaga Perubatan Texas.

Pada Julai 2015, para juri telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Christopher Duntsch di atas lima dakwaan serangan teruk dan satu dakwaan mencederakan warga emas.

Christopher Duntsch telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Februari 2017 menjadikan dia doktor pertama yang menerima hukuman seperti ini di Amerika Syarikat. Dia dijadualkan boleh memohon pembebasan bersyarat pada tahun 2045 nanti.

Sumber: ati