Tujuh lelaki warganegara Indonesia baru-baru ini telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kerana menceroboh sebuah pelantar minyak di perairan Terengganu.
Memetik laporan Berita Harian, ketujuh-tujuh individu warga Indonesia itu disyaki menceroboh pelantar minyak itu untuk mencuri.
Difahamkan, pelantar minyak itu tidak berpenghuni.
Kesemua suspek itu yang berusia dari 25 hingga 45 tahun telah berjaya ditahan meskipun mereka cuba bersembunyi di ruang ventilasi pelantar minyak tersebut ketika serbuan.
Artikel Berkaitan: “Jangan terjebak dengan kegiatan haram di negara asing”- Presiden Indonesia Prabowo Subianto Ingatkan Rakyat Indo
Artikel Berkaitan: Penunjuk Perasaan Baling Telur Ke Kedutaan Malaysia Di Indonesia, Protes Insiden Temb*kan Babit 5 Rakyatnya
Sebelum suspek-suspek berjaya ditahan, sebuah syarikat cari gali minyak telah memaklumkan kepada pihak Maritim Terengganu tentang pencerobohan di pelantar minyak tidak berpenghuni itu.
Difahamkan juga, ketika pemeriksaan rutin, kru operasi pelantar melihat kesan-kesan pelantar itu telah dicerobohi.
Selain itu, mereka turut ternampak seperti kelibat orang bersembunyi di bilik jana kuasa.
Bekas-bekas makanan, bateri yang dilonggokkan dan kesan kabel dipotong kemudiannya telah ditemui ketika pemeriksaan dilakukan di pelantar tersebut.
Siasatan pihak berkuasa juga mendapati bahawa mereka berada di pelantar itu selama dua hari kerana mahu mencuri barang-barang penting seperti kabel-kabel berkualiti, bateri dan panel solar yang kemudiannya boleh dijual untuk mereka dapatkan wang.
Untuk siasatan lanjut, suspek-suspek tersebut ditahan reman selama tujuh hari oleh pihak berkuasa.
Sumber: Berita Harian