Dua eksekutif kanan syarikat teknologi Amerika Syarikat, Astronomer, digantung tugas serta-merta selepas video menunjukkan mereka berpelukan semasa konsert Coldplay di Boston tular.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Andy Byron dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Kristin Cabot, dikatakan individu dalam video yang dirakam ketika segmen “kiss cam” pada 16 Julai lalu.
Selepas wajah mereka terpampang di skrin besar, Byron kelihatan cepat-cepat melarikan diri dari bingkai manakala Cabot menutup muka dan berpaling.
Tindakan mereka menimbulkan tanda tanya penonton, termasuk vokalis Coldplay, Chris Martin, yang sempat berseloroh, “Sama ada mereka sedang curang atau mereka sangat pemalu.”
Selepas video itu dimuat naik ke TikTok dan meraih puluhan juta tontonan, identiti mereka mula dikenalpasti oleh netizen sebagai dua individu penting dalam syarikat Astronomer. Kedua-duanya juga dikatakan sudah berkahwin.
Artikel berkaitan: Astronomer Nafi Wanita Dalam Skandal Di Konsert Coldplay Sebagai Alyssa Stoddard
Artikel berkaitan: “Ni kalau tak pasal ada affair, mungkin pemalu” – Coldplay Tak Sengaja Kantoikan CEO & HR Ada Skandal Sampai Tular

Susulan tularnya video tersebut, Lembaga Pengarah Astronomer segera mengumumkan satu siasatan dalaman sedang dijalankan.
Dalam kenyataan rasmi, syarikat menyatakan bahawa semua pemimpin perlu mematuhi piawaian tertinggi dari segi integriti dan akauntabiliti.
Sumber dalaman yang dipetik oleh portal Axios mengesahkan bahawa Byron dan Cabot telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Sementara itu, Ketua Produk, Pete DeJoy, dilantik sebagai CEO interim.
Astronomer turut menafikan satu permohonan maaf yang tular atas nama Byron sebagai palsu. Seorang lagi pekerja, Alyssa Stoddard, yang sebelum ini tersalah dikenalpasti sebagai wanita dalam video turut disahkan tidak berada di lokasi kejadian.
Astronomer merupakan syarikat infrastruktur data yang berpusat di Amerika Syarikat dan Byron telah menjadi CEO sejak 2023. Cabot pula menyertai syarikat itu pada November 2024.
Sumber: The Star