Banglo mewah dua tingkat milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang sebelum ini tersergam indah di belakang sebuah hotel di Petaling Jaya, kini sudah tiada selepas dirobohkan syarikat pemaju, Al Anbia Sdn Bhd pada bulan lalu.
Menurut laporan Astro Awani, pada awalnya, wakil syarikat pemaju, CT Tang, tidak mengetahui tapak dan kediaman yang dibeli itu merupakan milik penyanyi terkenal terbabit.
Katanya, syarikat membeli kediaman itu dengan harga sekitar RM4 juta dan terkejut apabila mendapati banyak koleksi kaset dan CD milik Allahyarham di dalam kediaman mewah berkenaan.
Artikel berkaitan: “Hanya tinggal kenangan” – Banglo Mewah 2 Tingkat Milik Sharifah Aini Dirobohkan
“Saya masuk ke salah satu bilik, saya nampak banyak kaset, CD lama milik Sharifah Aini. Saya terkejut. Sebelum proses robohkan rumah dijalankan, saya tidak tahu itu rumah dia.
“Saya tertanya-tanya ini siapa punya rumah. Rumah ini datang dengan reka bentuk dan kayu mahal yang lama. Semua kaset disusun rapi dalam bilik tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut kagum dan memuji reka bentuk asal banglo besar bernombor 42 yang berkeluasan 20,000 kaki persegi itu.
“Memang sangat cantik reka bentuk rumah asal ini,” katanya.
Difahamkan, akan dibangunkan sebuah pejabat pengurusan tiga tingkat di atas tapak rumah tersebut dan dijangka siap dalam masa sekitar tiga bulan.
Kediaman dua tingkat milik Allahyarham Datuk Sharifah Aini kini hanya tinggal kenangan selepas dirobohkan syarikat pemaju bulan lalu.
Menurut wakil syarikat pemaju, Al-Anbia Sdn Bhd, Mr CT Tang, pada awalnya tidak mengetahui bahawa tapak kediaman yang dibeli itu merupakan milik… pic.twitter.com/tCbQeancuO
— Astro AWANI (@501Awani) July 2, 2024
Sumber mengatakan, barangan peribadi Allahyarham terutama yang berkaitan kerjaya seninya sudah dipindahkan ke tempat lain.
Menurut seorang kenalan terdekat Allahyarham yang tidak mahu dikenali berkata, seharusnya kerajaan mempunyai inisiatif untuk membeli dan memelihara kediaman termasuk barangan penyanyi legenda itu.
Bagaimanapun, segala keputusan terpulang kepada Aliff sebagai satu-satunya anak Allahyarham yang kini telah pun menjual rumah tersebut.
Kediaman gah itu juga sering dijadikan tempat pertemuan dengan rakan media, menjamu kenalan serta mengadakan majlis doa selamat yang turut dihadiri anak-anak tahfiz.
Sumber: Astro Awani