Peperiksaan SPM merupakan peperiksaan yang paling penting sebelum para remaja menjejakkan kaki ke alam pengajian tinggi atau alam pekerjaan. Baru sahaja kita dikejutkan dengan berita seorang calon SPM di Klang yang kehilangan ibunya sewaktu sedang menduduki peperiksaan, kini seorang calon SPM di Johor pula tiba-tiba hilang sebelum sempat menduduki peperiksaan penting tersebut.
Menurut Harian Metro, kehilangan Teoh Man Chee, 18, dari kediaman mereka di Taman Universiti Skudai, Johor Bahru disedari oleh kakaknya Teoh Qiong Lin, 29, selepas mendapati pelajar yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2 itu tiada di rumah keluarganya dan dipercayai membawa bersama beg pakaian serta wang tunai RM30.
Ahli keluarga Chee yang sudah mencari di merata tempat dan cuba menghubungi rakan-rakannya telah melaporkan kehilangan pelajar tersebut kepada pihak polis. Lebih merisaukan keluarganya, Chee dikatakan pernah cuba untuk membunuh diri sebelum ini.
Pelajar yang tidak bersekolah sejak Mac lalu pernah menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah dan meninggalkan empat nota kepada ayah, keluarga, kawan dan laman sosial mengatakan bahawa dia ingin membunuh diri sebelum menghilangkan diri.
Sepanjang tempoh dia tidak bersekolah, Chee dikatakan banyak duduk di dalam bilik dan melihat komputer riba setiap hari serta memuat turun aplikasi berkaitan langkah-langkah untuk membunuh diri! Kenapa lah wujud aplikasi macam ni?!
Lin yang menjumpai lawan web teknik membunuh diri di komputer riba adiknya memberitahu bahawa Chee sering dilihat menangis pada jam 3 pagi dan merupakan seorang yang tidak banyak bercakap selain tidak berlaku perbalahan antara ahli keluarga sebelum kehilangannya.
“Jika dilihat, untuk melengkapkan semua langkah (membunuh diri) yang dipaparkan dalam laman web itu, ia perlu mengambil masa dua bulan,” kata Lin.
Melihatkan keadaan tersebut, ramai netizen memberi komen bahawa pelajar ini mungkin terjebak dengan permainan online, Blue Whale Challenge.
Sumber: Facebook
Mungkin ramai yang masih belum sedar akan kewujudan Blue Whale Challenge yang telah membunuh ratusan remaja di beberapa buah negara ini. Menurut The Sun, Blue Whale adalah permainan dalam talian yang dipercayai berasal dari Rusia.
Permainan ini dilaporkan menyenaraikan beberapa cabaran untuk diselesaikan dalam tempoh 50 hari oleh pemain yang pada awalnya kelihatan tidak merbahaya, tetapi akan berakhir dengan mencabut nyawa sendiri sebagai perkara terakhir yang perlu dibuat bagi menyempurnakan cabaran Blue Whale tersebut.
Keluarga menyatakan bahawa mereka sangat rindu pada Chee dan tidak menyalahkannya atas apa yang berlaku. Mereka cuma mahu Chee pulang dan tidak kisah jika dia tidak menduduki peperiksaan SPM sekalipun. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Toeh Man Chee boleh menghubungi kakaknya di talian 016-7022845 atau 012-7511289.
Janganlah kita mudah terjebak dengan perkara yang tidak elok di internet dan semoga Chee akan dijumpai tak lama lagi kembali ke pangkuan keluarganya.
Baca: Gadis Nekad Bunuh Diri Selepas Ibu Abaikan Aduannya Dicabul Bapa Beberapa Kali