Berpuluh rakyat Indonesia semalam turun ke Kedutaan Malaysia di Jakarta demi memprotes penjualan dan penerbitan sebuah buku komik yang didakwa mengandungi isi yang berbaur kutukan terhadap pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.
Menurut Malay Mail, protes yang dilakukan oleh NGO yang dikenali sebagai Corong Rakyat itu meminta supaya pihak berkuasa menghentikan penjualan buku komik tersebut yang kini bebas dijual di beberapa buah kedai buku di Malaysia.
Penulis Malaysia tulis komik perkenal pembantu rumah sebagai monyet?
Menurut laporan, buku berkenaan bertajuk ‘When I Was A Kid’ siri ke-3 ditulis oleh penulis warganegara Malaysia yang dilahirkan di Singapura dan kini menetap di Amerika Syarikat, Cheeming Boey.
Boey, 45, dikatakan telah melukakan hati pekerja migran di Malaysia apabila salah satu petikan di dalam buku tersebut pada muka surat 154 memaparkan seorang bapa memperkenalkan anaknya kepada seorang pembantu rumah yang berasal dari Indonesia sebagai seekor monyet kerana dia memanjat pokok kelapa di belakang rumah, lapor Hops.Id.
Selain dari buku tersebut, Boey terdahulu telah menerbitkan When I Was A Kid siri 1 yang mana antara bukunya paling laris pada Mei 2012. Manakala buku When I Was a Kid siri 3 pula diterbitkan pada 1 Januari 2014.
Aksi protes yang berlangsung selama sejam itu juga turut membakar komik berkenaan sebagai meluahkan rasa kecewa dan bantahan terhadap kandungan komik yang melukakan hati pekerja migran negara berkenaan di Malaysia.
Selain itu, NGO yang terbabit juga meminta pihak berkuasa menyiasat motif disebalik penerbitan dan ilustrasi yang dilakukan penulis komik, Boey.
Baca: Protes Dengan Kerajaan, Pasukan Bola Sepak Iran Enggan Nyanyi Lagu Kebangsaan Di Piala Dunia