Beberapa masjid tertua telah dibina ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Pun begitu, terdapat juga beberapa masjid yang telah wujud sebelum Rasulullah dan dibina ketika zaman nabi sebelumnya seperti Ibrahim.
Terdapat sebanyak empat masjid yang disebut di dalam al-quran namun tak dapat dipastikan masjid mana yang dibina dulu. Namun begitu, kesemua masjid tersebut dianggap sebagai masjid tertua di dunia serta merupakan tempat suci bagi umat Islam.
Jadi pada artikel kali ini, kita akan kongsikan beberapa masjid tertua di dunia yang masih lagi wujud sehingga sekarang dengan mengambil kira usia beberapa bahagian masjid. Kebanyakan masjid-masjid ini telah diubahsuai dan dibesarkan sepanjang abad.
8. Masjid Nabawi
Masjid Nabawi merupakan masjid kedua yang dibina oleh Rasulullah di Madinah. Ia juga merupakan masjid kedua terbesar di dunia dan dianggap sebagai tempat kedua paling suci dalam Islam.
Tanah tempat masjid ini dibina merupakan milik dua anak yatim iait Sahl dan Suhayl. Sebelum Rasulullah tiba di Madinah, tempat tersebut telah digunakan sebagai kawasan pengebumian. Tapi apabila Sahl dan Suhayl mengetahui bahawa Rasulullah sedang mencari tanah, mereka telah menawarkannya sebagai hadiah.
Namun begitu, apabila Rasulullah sedar dua beradik yatim ini memerlukan wang, baginda telah bertegas untuk membayar. Abu Ayyub al-Ansari kemudiannya telah membuat bayaran bagi pihak Muhammad.
Kalau korang nak tahu, pada awalnya masjid ini dibina dalam keadaan terbuka dan digunakan sebagai sekolah agama, mahkamah dan tempat perjumpaan bagi orang Islam.
Struktur Kubah Hijau yang terletak di penjuru tenggara Masjid Nabawi ini telah dibina di atas makan Rasulullah dan khalifah terawal iaitu Abu Bakr dan Umar Al-Khattab.
Tahun dibina: 622
Negara: Arab Saudi
Lokasi: Madinah
7. Masjid Quba
Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah. Dipercayai baginda telah meletakkan batu pertama untuk pembinaan masjid ini sebelum disiapkan oleh pengikut-pengikutnya.
Masjid kecil ini dibina di Quba iaitu satu perkampungan yang terletak sejauh 3.5 batu dari Madinah. Madinah kemudiannya dibesarkan dan kampung ini turut masuk di dalam kawasannya. Al-quran ada menyebut, selepas berhijrah ke Madinah, Muhammad telah tinggal di rumah Kulsoom bin Hatam selama 14 hari sebelum membina Masjid Quba.
Setiap Sabtu, Rasulullah akan ke masjid tersebut untuk menunaikan solat dua rakaat. Rasulullah turut meminta pengikutnya untuk berbuat demikian dengan bersabda:
Barangsiapa yang berwuduk di rumahnya dan mendirikan solat di Masjid Quba akan diberikan ganjaran yang sama seperti satu Umrah.”
Masjid Quba juga menjadi tempat pertama Solat Jumaat diadakan dan diimamkan oleh Rasulullah.
Pada kurun ke-20, struktur asal Masjid Quba telah pun dimusnahkan dan digantikan dengan bangunan baru.
Tahun dibina: 622
Negara: Arab Saudi
Lokasi: Madinah
6. Masjid Al Qiblatayn (Somaliland)
Masjid Al Qiblatayn (bukan di Madinah) merupakan salah satu dari tiga masjid terawal yang dibina di Afrika oleh pengikut-pengikut awal Nabi Muhammad.
Masjid ini terletak di Zeila iaitu wilayah barat Awdal di Somaliland. Pada awal kurun ke-7, beberapa sahabat Rasulullah telah lari dari Mekah untuk menyelamatkan diri dari dibunuh semasa kepimpinan Qurasyh. Mereka berlindung di beberapa bahagian Abyssinia dahulu iaitu Ethiopia, Eritrea, dan Somaliland sekarang.
Mereka kemudiannya telah membina masjid di tempat-tempat tersebut dan tiga masjid tersebut masih wujud hingga sekarang iaitu: Masjid Al Qiblatayn, Masjid Al Nejashi, dan Masjid aṣ-Ṣaḥābah.
Masjid Al-Qiblatayn dipercayai dibina oleh keluarga Dir iaitu orang yang bertanggungjawab menyebarkan syariat Islam di Somalia.
Tahun dibina: 615
Negara: Somaliland
Lokasi: Zeila
5. Masjid Al Nejashi
Masjid Al Najeshi mempunyai sejarah yang sama dengan Masjid Al Qiblatayn. Masjid ini telah dibina oleh sahabat Rasulullah yang melarikan diri ke wilayah Tigray di Ethiopia.
Masjid ini terletak di perkampungan Negash dan salah satu tempat pertama penempatan Islam berlaku. Masjid ini telah dinamakan sebagai Nejashi yang membawa maksud raja.
Pada awalnya, seramai 15 sahabat Rasulullah yang tiba di kawasan ini telah mendapat sambutan yang baik oleh raja Abyssinia. Kemudian kumpulan lain seramai 101 orang telah tiba pada perpindahan kedua.
Masjid ini telah diubah suai secara besar-besaran pada tahun 2018. Bagaimanapun, tiga tahun kemudian masjid ini telah mengalami kerosakan besar semasa pertempuran antara Barisan Pembebasan Rakyat Tigray dan pasukan keselamatan Ethiopia dan Eritrea.
Kerajaan Ethiopia kemudiannya mengatakan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan tersebut dan akan menanggung kos pembaikannya.
Tahun dibina: 614
Negara: Ethiopia
Lokasi: Negash
4. Masjid aṣ-Ṣaḥābah
Masjid kecil ini terletak di Massawa, Eritrea dan merupakan masjid tertua di Afrika. Masjid ini dipercayai dibina pada 613 oleh sahabat-sahabat Rasulullah. Ahli sejarah percaya bahawa struktur terkini masjid tersebut telah dibina sekali lagi sebagai tanda peringatan kerana beberapa ciri struktur seperti mihrab dan menara wujud pada senibina Islam ketika awal kurun ke-7.
Masjid ini merupakan satu-satunya masjid tertua yang tahun pembinaannya boleh diketahui dengan tepat.
Tahun dibina: 613
Negara: Eritrea
Lokasi: Massawa
3. Al Mash’ar Al Harām
Al Mash’ar Al Harām atau turut dipanggil sebagai Monument Keramat merupakan masjid dengan bumbung terbuka yang terletak di Muzdalifah berhampiran Mekah. Tapak ini telah disebut di dalam al-quran dan disebabkan ini, ia dianggap sebagai salah satu masjid tertua di dunia.
Masjid ini telah menjadi tempat sebahagian daripada jemaah Haji untuk solat dan bermalam ketika dalam perjalanan untuk ke Mina.
Struktur besar telah dibina disekeliling masjid ini bagi menampung jemaah Haji dan Umrah. Ia juga merupakan salah satu tempat paling suci kerana ia dipercayai merupakan tempat terakhir Rasulullah menunaikan solat ketika melakukan Haji Wida’ iaitu haji terakhir baginda sebelum wafat.
Tahun dibina: Tak diketahui
Negara: Arab Saudi
Lokasi: Muzdalifah
2. Haram al-Sharif
Haram al-Sharif dianggap sebagai masjid kedua tertua di dunia dan tempat ketiga paling suci dalam Islam. Tapak ini juga turut dianggap keramat oleh orang Yahudi dan Kristian yang bertempat di Baitulmaqdis, Palestin.
Kompleks ini juga turut menempatkan Kubah As Sakhra dan Masjid Al Aqsa. Kubah As Sakhra merupakan tempat Rasulullah naik ke syurga ketika peristiwa Israk Mikraj. Manakala Yahudi pula percaya ia merupakan tempat Ibrahim cuba untuk mengorbankan anaknya kepada Tuhan.
Tahun dibina: Tak diketahui
Negara: Palestin
Lokasi: Baitulmaqdis
1. Masjidil Haram
Masjidil Haram dianggap sebagai masjid tertua di dunia. Terletak di Mekah, masjid ini telah mengelilingi Kaabah dan merupakan tempat paling suci dalam Islam. Seperti yang disebut di dalam al quran, Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail telah membina struktur Kaabah.
Selain Kaabah, Masjidil Haram juga turut menempatkan tapak-tapak penting seperti hajarul aswad, makan Ibrahim, bukit Safa dan Marwa dan telaga Zam Zam. Beberapa ahli sejarah Islam percaya bahawa hajarul aswad merupakan satu-satunya yang masih mengekalkan struktur asal.
Tahun dibina: Pada zaman Nabi Ibrahim
Negara: Arab Saudi
Lokasi: Mekah
Sumber: Oldest.Org