in

“Bukan sekadar pendidik” – Guru, Harapan Masa Depan Anak Kita

ft kisah cikgu

Guru, cikgu, ustaz, ustazah… Tidak kiralah apa gelaran mereka, tugas mereka sangat mencabar kerana bukan sekadar pendidik, mereka inilah penggerak perubahan dan pemangkin harapan.

Di sebalik setiap dasar dan pelan strategik yang dirangka dalam Program Anak Kita, sebuah inisiatif pendidikan nasional yang memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran asas, isu keciciran pelajar dan peningkatan peratusan calon lulus SPM, guru bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi jantung kepada kejayaan program ini.

Seorang guru yang berwawasan percaya bahawa murid yang lemah membaca hari ini mampu menjadi pemimpin yang berwibawa satu hari nanti. Mereka inilah yang akan melihat potensi seseorang murid, menyuntik semangat ketika ada yang mampu berputus asa dan terus membimbing walau langkah masih perlahan.

LM Gambar Hiasan 600 x 400 px 2

Hubungan yang terjalin ini melangkau akademik, ia membina keyakinan, harga giri dan masa depan.

Sebagai contoh, Che Nurul Fadhilah, seorang guru di SK Seksyen 24 menyifatkan guru sebagai “jantung inisiatif” ini yang membimbing dengan kasih dan keprihatinan. Cikgu Zaiha Nabiha dari SK
Senggarang, Johor pula melihat dirinya sebagai mentor kepada murid tercicir, manakala Cikgu
Mohd Zani dari SK Taman Damansara Aliff pula menekankan pentingnya guru menyesuaikan
pendekatan berdasarkan pemerhatian harian.

Program Anak Kita: Ruang Inovasi dan Sokongan

Program Anak Kita memberi ruang kepada guru untuk berinovasi, merancang strategi pengajaran
berfokus, dan mencipta persekitaran pembelajaran bermakna. Cikgu Weltiana dari SK Karakit
Banggi, Sabah pula berkongsi bagaimana latihan dan sokongan berstruktur membina keyakinan
untuk menyesuaikan kaedah pengajaran, terutamanya di kawasan pedalaman.

Cikgu Hamidah dari SK Peserai, Johor pula berkata, “Kita bukan lagi dalam zaman ‘chalk and talk’ kerana proses pembelajaran murid kini meliputi visual, teknologi dan pengalaman.” Program ini dapat membantu guru beralih ke pendekatan lebih inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.

Pun begitu, cabaran seperti ketidakhadiran murid, jurang penguasaan yang besar, kekangan sumber dan tugasan pentadbiran yang membebankan guru tetap wujud.

Kesannya, murid kehilangan motivasi dan sukar memberikan tumpuan selain tuntutan kerja berkaitan dokumentasi dan tugasan pentadbiran pula memberikan kesan kepada cikgu-cikgu kerana masa tersebut sepatutnya diperuntukkan kepada murid yang memerlukan perhatian yang lebih.

Menurut Cikgu Zani, tanpa kesedaran ibu bapa tentang kepentingan ‘menjaga’ kehadiran ke sekolah, usaha guru-guru ini akan terjejas. Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Cikgu Zaiha dan Puan Hanafisah dari SK Subang Bestari yang menyatakan bahawa ramai murid kurang menerima sokongan moral dari rumah, menjadikan guru sebagai satu-satunya sumber inspirasi utama di sekolah.

Realiti pendidikan hari ini merupakan tanggungjawab kolektif dan guru tidak menjalankan peranan mereka secara bersendirian, sebaliknya mereka adalah sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang turut memerlukan keterlibatan ibu bapa, masyarakat, pentadbir, pembuat dasar dan komuniti secara keseluruhan.

Melalui Program Anak Kita, pendekatan whole-of-nation ini dilaksanakan secara lebih menyeluruh, memperkukuh peranan guru dan dalam masa yang sama dibantu oleh sokongan berstruktur daripada pelbagai pihak.

Walau berdepan cabaran, mereka tidak pernah patah semangat. “Kuncinya ialah pengurusan
masa dan fikiran positif,” kata Cikgu Weltiana. Sokongan emosi daripada komuniti sekolah turut
memainkan peranan besar. Apabila adanya ruang untuk refleksi dan sokongan emosi, guru dapat
memberi yang terbaik untuk muridnya.”

DEN01836 DEN01827

Sementara itu, Cikgu Liza Rozy dari SK Puchong Utama menyimpulkan, “Mendidik bukan
semata-mata menyampaikan fakta, tetapi akhlak. Bila kita menyelami jiwa murid, barulah wujud
pendidikan yang menyentuh hati.”

Kita seharusnya bukan hanya menunggu detik ataupun perayaan istimewa seperti Hari Guru
untuk menghargai insan bergelar pendidik. Setiap hari, guru-guru berkorban dalam diam—
menitiskan peluh, menyalakan semangat, dan meminjamkan harapan buat masa depan yang
mungkin belum dapat dibayangkan oleh murid-murid.

Di sebalik setiap murid yang kini mampu membaca, menulis, mengira — atau kembali semula
ke sekolah — ada seorang guru yang tidak pernah berhenti mempercayai potensi anak didiknya.
Merekalah yang setiap hari memecah ruyung — bukan untuk diri sendiri, tetapi demi masa depan
anak bangsa.