in

Buaya Sebenarnya Haiwan Yang Setia, Tapi Kenapa Guna Untuk Label Lelaki ‘Player’? Ini Penjelasan Kenapa 3 Peribahasa Ini Wujud

ft peribahasa

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pernah tak korang terfikir, sesuatu peribahasa itu apa kaitan dengan perkara yang dimaksudkan. Misalnya buaya darat, kenapa buaya? Kenapa bukan haiwan lain? Mungkin korang beranggapan bahawa buaya itu ada sikap suka membaham, tapi dalam air pun dia membaham.

Okey, macam mana pula dengan ‘biawak hidup’? Kenapa kena biawak? Mungkin ada yang dah tahu tapi min nak share sedikit info macam mana boleh tercetusnya peribahasa-peribahasa seperti ini.


Perlu diingatkan ada kisah yang mungkin kita tidak tahu sejauh mana kesahihan, tapi bila korang baca ni, pasti akan datang logik akal macam mana boleh terjadinya peribahasa ini.

Artikel berkaitan : Netizen Risau Tengok Peserta Rancangan HeroDewi Remaja 2023 ‘Goreng’ Maksud Peribahasa Melayu

Artikel berkaitan : Kisah Peribahasa Melayu Pada Logo Tentera Udara UK

 

1. Buaya darat

Seperti yang kita sedia maklum, peribahasa ini memang khusus untuk para lelaki yang sering bertukar-tukar pasangan perempuan. Pendek kata, player lah. Tapi, buaya pun ada yang betina dan sumber mengatakan buaya adalah haiwan yang setia.

Dalam satu kajian, saintis mendapati bahawa 70% populasi buaya ini memilih untuk bersama pasangan yang sama. Menurut sumber, pada musim mengawan, sehingga beberapa tahun, buaya betina akan memilih pasangan yang sama sedangkan banyak buaya jantan lain dikelilingnya.

Bahkan dikatakan buaya jantan dikatakan akan menlindungi pasangannya yang hendak bertelur dan menjaga telur-telurnya hingga menetas. Malah, seandainya buaya betina mati dahulu, dikatakan buaya jantan takkan cari pasangan lain.

Screenshot 2025 05 23 110834

Hurm, kalau nak ikut main tukar-tukar pasangan ni, kucing kan? Jadi, kenapa tak kucing eh?

Tapi, ada aspek lain yang mungkin boleh dikaitkan buaya ini  dengan perumpamaan tersebut kerana haiwan ini terbahagi kepada beberapa sifat iaitu:

Bergerak dalam diam –  Kita tahu yang buaya ini akan serang mangsa secara senyap-senyap. Jadi, lelaki buaya darat pula akan mendekati wanita dengan cara halus untuk selindung niat sebenarnya.

Licik – Buaya adalah haiwan predator yang begitu sabar menunggu masa tepat untuk menyerang mangsa. Jadi, lelaki licik akan memikat wanita kemudian menjadi seorang yang dominan dan boleh jadi kaki putar belit juga.

Selain itu, satu kisah diambil dari sebuah portal dari Indonesia mengatakan bahawa ada kejadian berlaku kepada masyarakat Soronganyit, Jember, Jawa Timur tahun 1971.

Kisahnya, ada satu kolam buaya yang dijaga dengan rapi, jadi waktu untuk ke darat dan berada di air sudah ditetapkan. Suatu hari, ada seekor buaya jantan hilang. Jadi, penduduk kampung panik, namun ia ditemui selepas 3 bulan bersama buaya betina.

Screenshot 2025 05 23 111233

Dikatakan, buaya betina itu bukan pasangannya dan buaya betina tersebut sama umur dengan anak buaya si jantan ini. Orang yang menemui buaya tersebut terus ‘menyampah’ dengan mengatakan “dasar buaya”. Sejak dari itu kalau ada lelaki yang mempunyai kekasih gelap, terus dilabel sebagai lelaki buaya darat.

 

2. Bagai mendukung biawak hidup

images 2

Lain pula dengan istilah biawak hidup, secara amnya, biawak hidup ini adalah seseorang yang suka ambil kesempatan terhadap orang lain sampai menyusahkan mereka. Dalam bahasa mudah, pemalas dan malas bekerja. Hasil pencarian, kami menemui satu huraian dari sudut sains.

Sumber melaporkan bahawa, biawak adalah haiwan berdarah sejuk yang mempunyai kadar metabolisma yang sangat tinggi, senang kata, perlu makan dengan banyak. Makanan biawak ini berpotensi tinggi untuk menjadikan sarang-sarang penyu yang sedang dieram sebagai mangsanya.

Kajian daripada Dr. Mohd Uzair Rusli daripada Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu menjelaskan pihaknya ada menjalankan satu kajian terhadap 15 ekor biawak air dari kawasan santuari penyu Pantai Chagar Utang, Pulau Redang.

Sebanyak 15 ekor biawak air telah berjaya ditangkap dan dipasangkan peranti penjejak yang menggunakan teknologi GPS, tetapi hanya 5 ekor sahaja yang boleh dapat data untuk dianalisa. Hasilnya, analisa pergerakan biawak mendapati bahawa setiap biawak mempunyai ruangan untuk merayau sendiri dan mereka mendapati bahawa biawak bersaiz besar tidak bergerak jauh berbanding yang kecil hanya 0.015-0.198 km persegi sahaja.

asian water monitor shutterstock 661751011

Dari sini kita dah boleh agak jawapan kenapa gelaran biawak hidup diberi, kan? Lebih menarik lagi, sumber mengatakan bahawa apa yang aneh pasal biawak ini adalah mereka akan aktif selepas jam 11.00 pagi dan tidur mereka sangat panjang kerana tidak aktif langsung pada waktu malam.

Haa, jadi faham kan secara metaforanya, orang-orang yang jadi biawak hidup ni selalu bangun lambat. Bila bangun lanbat, jadi tak produktif yang sekaligus buat seseorang itu jadi malas. Jadi, tak peliklah orang yang suka bangun lepas jam 11 pagi itu diibaratkan macam biawak hidup.

Dalam pada itu ada beberapa ciri biawak asli yang mungkin boleh dikaitkan dengan biawak hidup. Biawak asli dipercayai mempunyai penglihatan jarak jauh yang amat baik, biawak juga tidak mampu bernafas dan berlari secara serentak kerana otot yang terlibat untuk kedua-dua proses ini adalah sama.

Jadi, kalau tengah kejar biawak tiba-tiba dia berhenti tu mesti korang terkejut dan patah balik, sebenarnya biawak tu tengah ambil nafas. Biawak pun ada ingatan yang kuat tau, jadi kalau ada helah nak tangkap biawak, kena buat beberapa cara, sama lah biawak hidup suka bagi banyak alasan.

chris lynch uvWgTFWXz0Y unsplash

Biawak jantan mampu duduk di satu tempat sehingga dua bulan jika tak ada sumber makanan yang mencukupi untuk bergerak aktif. Jadi, kalau nampak kelibat biawak yang tak bergerak selama berhari-hari tu tolong jaga-jaga sebab mungkin ia masih hidup dan mampu memberi ancaman.

Biawak hidup pula duduk satu tempat dan sengaja tak makan dan minum sebab khusyuk main handphone, main game. Sebab tu tak aktif sampai malas nak cari kerja dan buat kerja rumah.

3. Biar mati anak, jangan mati adat

Peribahasa ini bermaksud pantang larang melanggar adat nenek moyang. Jika anak sendiri langgar adat atau undang-undang, dia mesti dihukum. Menurut sumber, ia mempunyai komunikasi yang tersirat. Secara logiknya, tiada siapa yang mahukan anaknya mati hanya kerana tak ikut adat resam, tetapi peribahasa ini lebih merujuk kepada kepentingan untuk mematuhi undang-undang.

Ia juga berkenaan dengan orang yang melanggar undang-undang harus dihukum tidak kiralah siapa pun pesalah, tidak kira undang-undang awam mahupun dari sudut agama. Adat yang dimaksudkan adalah peraturan yang sudah diamalkan sejak turun temurun dalam sesuatu masyarakat yang merangkumi nilai kebudayaan, norma masyarakat, kelaziman dan hukum hakam.

Jadi, peraturan wajib dipatuhi oleh masyarakat di sesebuah negara mahupun negeri dan siapa yang melanggarnya, harus dihukum tidak kira jika ia terdiri daripada ahli keluarga sendiri.

Menurut sumber lagi, peribahasa ini asalnya daripada peribahasa Aceh iaitu, “mate aneuk meupat, jeurat, gadih adat pat tamita” yang membawa maksud mati anak ada kuburnya, hilang adat di mana hendak digantikan. Peribahasa ini tercetus daripada kisah perlaksanaan hukum Islam ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira darjat oleh Sultan Iskandar Muda.

Menurut sejarah, Sultan Iskandar Muda dikatakan menjatuhkan hukuman rejam sampai mati terhadap putera mahkota baginda yang bakal mewarisi kedudukannya sebagai sultan iaitu, Meurah Pupok kerana dituduh melakukan zina.

Lukisan Iskandar muda

Dengan kisah ini, intipati peribahasa yang digunakan ini sebenarnya melambangkan pelaksanaan undang-undang Islam yang adil tanpa mengira status kedudukan seseorang sama ada ahli keluarga ataupun anak kandungnya sendiri.

Jadi, peribahasa ini tidak terhad kepada adam resam sahaja tetapi dari aspek agama juga. Pendek kata, peribahasa “biar mati anak, jangan mati adat” ini pada dasarnya menekankan kepentingan menjaga kedaulatan undang-undang dan tidak harus dicabuli demi kepuasan individu.

Sumber : Live Science, detik.com, era.id, Majalah Sains, Dewan Budaya

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.