Umum mengetahui, mana-mana umat Islam di Kelantan yang berkelakuan tidak sopan dan tidak berpakaian menutup aurat di tempat awam akan dikenakan tindakan.
Baru-baru ini, tular sebuah video seorang wanita berpakaian seksi sambil catwalk di sekitar ibu negeri Kota Bharu.
Rakaman video yang memaparkan perlakuannya sedang berjalan di Taman Hijau dan di hadapan pintu gerbang al-Quran depan Istana Balai Besar telah membangkitkan kemarahan orang ramai kerana seolah-olah menghina dan memberi imej negatif kepada negeri yang sinonim dengan gelaran Negeri Serambi Mekah.
Timbulkan fitnah terhadap agama dan masyarakat
Mengulas video itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tindakan wanita itu telah memberi gambaran yang boleh menimbulkan pandangan negatif walaupun niatnya tidak diketahui secara jelas.
“Berpakaian tak sopan itu sudah terang-terangan salah dari segi hukum, malah tindakannya pula boleh menimbulkan tuduhan, ini yang dipanggil satu penyebaran fitnah.
“Individu ini juga cuba memburuk-burukkan imej negeri dan agama apabila berpakaian tak senonoh berdekatan dengan al-Quran walaupun sekadar replika di pintu gerbang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan umat Islam supaya mempunyai pendirian yang teguh dalam berpegang kepada ajaran agama.
Jaheaik bakal siasat
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) memaklumkan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan melibatkan aurat dan akan membuka kertas siasatan berhubung video terbabit.
Pihak Jaheaik memaklumkan, tindakan wanita berkenaan didapati melanggar peraturan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Selain itu, wanita tersebut turut melanggar peraturan dibawah Seksyen 23 (mendedahkan aurat di tempat awam) di bawah enakmen sama.
Sumber: Sinar Harian, Kosmo!
Baca: Nenek Kelantan 62 Tahun Temu Jodoh Dengan Lelaki Sabah Usia 28 Tahun Di TikTok