Siapa je yang tak kenal dengan artis cantik Korea Selatan Jennie BLACKPINK ini kan. Dengan jumlah pengikut 56.1 juta di Instagram (ketika artikel ini ditulis), itu menjadikan dirinya antara artis antarabangsa yang paling popular di dunia. Memang ramai betul peminat Jennie ni kan.
Namun, seorang peminat Jennie dari Filipina ini pula sanggup membayar papan iklan di Korea Selatan untuk mengajak artis K-POP itu keluar makan malam dengan dirinya baru-baru ini, lapor The Korea Times.
Lelaki yang dikenali sebagai Christian Albert Gaza, 28 tahun itu telah meletakkan beberapa gambar di papan iklan berbayar atau billboard di Seoul, Korea Selatan berdekatan dengan bangunan YG Entertainment.
Difahamkan, bukan murah tau nak bayar billboard tu sebab kosnya menelan 1.5 juta Filipina pesos (kira-kira RM123,949). Dalam iklan tersebut, dapat dilihat dia meletakkan gambar dirinya dan ada penyataan yang bertulis,
Kim Jennie Ruby Jane, saya menyukai awak. Boleh kah saya membawa awak keluar makan malam dan jadikan saya lelaki paling bahagia di dunia ini?” katanya.
Pernyataan itu pula ditulis dalam kedua-dua bahasa iaitu bahasa Korea dan bahasa Inggeris.
Namun, tindakan lelaki yang juga merupakan seorang ahli perniagaan di Filipina itu telah mencetuskan pelbagai reaksi negatif daripada netizen dan peminat penyanyi wanita popular itu sendiri.
Untuk rekod juga, lelaki tersebut dikatakan pernah membuat perkara yang sama pada tahun 2018 untuk mengajak pelakon terkenal di Filipina iaitu Erich Gonzales keluar minum kopi dengannya. Namun, perlawaannya itu telah ditolak oleh wanita itu.
Ada yang kata walaupun bayar papan iklan bersempena hari lahir artis kegemaran di Korea adalah perkara biasa, namun kali ini ia dikatakan seperti melampaui batas.
Apa pendapat korang tentang perkara ni? Korang rasa agak-agak Jennie nak terima ke perlawaan lelaki ini?
Sumber: The Korea Times