Hampir seluruh dunia sekarang ini sedang bergelut melawan virus Covid-19 dan belum reda pun dari ancaman virus tersebut yang kini bermutasi dan mempunyai banyak varian yang berbahaya seperti Delta dan Delta plus.
Belum selesai dengan ancaman virus berbahaya tersebut, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini memberikan amaran awal tentang kewujudah semula virus Marburg yang dikatakan lebih mudah menjangkiti manusia selain berpotensi untuk tersebar dengan luas.
Amaran awal tersebut dikeluarkan susulan kematian seorang lelaki di Guinea, Afrika Barat selepas dijangkiti virus berkenaan menurut laporan Insider.
Menurut laporan tersebut, dikatakan individu tersebut mengalami pendarahan dalaman serta mengalami kegagalan fungsi organ sebelum disahkan maut.
Pada Isnin lalu, WHO mengesahkan kematian warga afrika tersebut adalah disebabkan jangkitan virus terbabit yang mudah berjangkit dan berpontensi untuk tersebar secara meluas dan jauh.
“Virus tersebut dipercayai berpunca daripada kelawar buah, sebelum disyaki boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan dan cecair badan” – WHO
Dalam masa yang sama, WHO meletakkan kadar kematian bagi virus Marburg ini pada tahap 24 dan 88 peratus manakala gejala awal virus berkenaan adalah demam secara tiba-tiba dan sakit kepala.
“Pendarahan dalaman akan berlaku dalam tempoh tujuh hari”
Pertama kali dikesan pada 1967 di sebuah makmal di Marburg dan Frankfurt, dikatakan virus Marburg ini berasal daripada kumpulan keluarga yang sama dengan virus Ebola yang mempunyai kadar kematian sehingga 50 peratus.
Dalam masa yang sama, pihak WHO menegaskan bahawa masih tiada vaksin atau rawatan antivirus yang boleh merawat virus berkenaan. Walaupun begitu, rawatan sokongan seperti rehidrasi dengan cairan oral dan rawatan gejala tertentu mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup.