Minggu ini tular gambar mangsa banjir bukan Islam yang menumpang perlindungan di dalam surau. Mangsa-mangsa banjir tersebut telah dijemput berteduh di Surau Taman Free School oleh seorang bilal setelah mereka gagal untuk menuju ke kuil akibat arus yang deras.

Isu ini mendapat perhatian dari seluruh rakyat termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang memuji tindakan bilal itu membuka pintu surau untuk dijadikan tempat berteduh bagi mangsa-mangsa banjir tanpa mengira agama dan kaum.

Terbaru, bilal surau Taman Free School, Sapno Tukijo, telah mempersoal tentang bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir kerana menganggap ianya diagihkan secara tidak adil. Selain itu, dia juga turut mengatakan bahawa nasib penduduk yang terjejas akibat banjir tidak dibela.
Menurut Free Malaysia Today, Sapno memberitahu bantuan keperluan asas telah diagihkan kepada penduduk di Flat Taman Penang Free School sewaktu lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Isnin lalu. Tetapi dia mendakwa penduduk di kawasan Lengkok P Ramlee telah diabaikan walaupun mereka lebih terjejas.

Ujar Sapno lagi, ketika bantuan tiba di pangsapuri itu, anggota tentera memberikan arahan tentang pengagihan bantuan keperluan asas tersebut menggunakan pembesar suara dalam Bahasa Melayu dan mungkin ada penduduk yang tidak datang mengambil bantuan kerana tidak faham arahan dalam bahasa itu.
Isteri Sapno juga turut bersuara, mengatakan bahawa pengagihan itu berat sebelah kerana penduduk flat ditingkat atas yang tidak terjejas dengan banjir pun turut mengambil bantuan yang diberikan oleh kerajaan pusat.

Dalam musibah yang melanda ini, harap-haraplah semua mangsa-mangsa banjir mendapat segala bantuan yang diperlukan. Harap mangsa banjir diberikan kekuatan menghadapi ujian ini.
Baca: “Hanya Tuhan mampu balas jasa encik” – Mangsa Banjir Terhutang Budi Bilal Sudi Beri Bantuan