Tular beberapa hari ini berkenaan isu mengenai seorang Youtuber yang telah menaikkan kemarahan orang ramai selepas memuat naik video ‘social experiment’ dengan menarik tudung wanita di tempat awam.
Selepas ditahan polis pada jam 7.30 malam Isnin lalu, Youtuber berkenaan, Fakhrul Rushdan Roslan, 24, mengakui hatinya tidak tenang dan banyak bermuhasabah diri akan kesalahan yang dilakukannya.
Menurutnya lagi, kini dia akui apa yang berlaku telah memberi kesan yang mendalam kepada dirinya apabila ditahan di lokap sepanjang kesnya disiasat.
“Silap saya sebab tak buat penjelasan awal”
Fakhrul atau dikenali sebagai Nick menerima hukuman atas kesilapan yang dilakukannya apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kelmarin dan dikenakan denda mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Bila di lokap itu (Balai Polis Wangsa Maju), saya memang tidak boleh tidur. Hati tak tenteram kerana fikirkan keluarga. Sedih dan tak boleh terima apa diri saya buat.
“Saya faham perkara itu berkait dengan soal agama tetapi ketika saya buat (video) itu, saya tak berfikir panjang. Apabila jadi begini barulah saya terfikir kesannya.
“Silap saya sebab tak buat penjelasan awal, yang ia adalah eksperimen sosial hingga ramai salah faham,” katanya ketika ditemu bual Harian Metro.
Menurutnya lagi, ibunya antara individu yang paling sedih dan terkesan dengan apa yang berlaku dan dia juga belum sempat bersemuka dengan wanita itu yang tinggal di rumah keluarga di Rawang.
Buat masa ini, Nick mengakui yang dia masih belum bersedia untuk berhadapan dengan orang awam kerana menerima kecaman berterusan. Dia memilih untuk duduk di rumah dulu sehingga kesnya selesai.
“Saya faham netizen marah kerana ingat mereka orang awam tetapi sebenarnya mereka kawan saya,” katanya lagi.
Nick telah mendapat bantuan bayaran ikat jamin RM3,500 dari sahabatnya, Erwinsyah Sumidi, 35, yang juga turut menasihatinya supaya tidak melakukan lagi perbuatan tersebut.
Haih beginilah kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata atau perbuatan, menanggunglah akibatnya. Semoga Youtuber ini tidak lagi mengulangi perbuatannya.
Baca: “Tak setimpal” – YouTuber Tarik Tudung Bakal Didenda RM100, Ramai Netizen Tak Puas Hati?