Nama usahawan yang juga pengasas bersama Fashion Valet, Vivy Yusof menjadi bualan ramai apabila Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dilaporkan mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pelaburan minoriti mereka dalam peruncit fesyen dalam talian Malaysia, Fashion Valet Sdn Bhd.
Perkara itu didedahkan semasa jawapan bertulis oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada pertanyaan yang disiarkan di laman web parlimen pada Isnin lalu.
Susulan berita itu, netizen menggesa Vivy Yusof untuk memberikan penjelasan tentang kerugian pelaburan dana awam yang berjumlah RM47 juta pada tahun 2018 yang kini hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam Fashion Valet.
Artikel berkaitan: Khazanah & PNB Rugi RM43 Juta Dari Penjualan Fashion Valet
Artikel berkaitan: Fashion Valet Hentikan Operasi, Nak Fokus Pada Jenama dUck & LILIT?
Respon Vivy Yusof
Terbaharu, menerusi laman Instagram Story, Vivy atau nama lengkapnya Datin Vivy Sofinas binti Yusof telah memuat naik satu hantaran memaklumkan dia akan menjelaskan perkara tersebut pada masa yang sesuai.
“Banyak perkara saya nak katakan, tapi tunggu waktu yang tepat. Insya-Allah. Untuk sekarang, saya biarkan apa orang nak cakap. Tapi berhati-hati dengan fitnah yang awak sebarkan tentang orang lain,” tulisnya.
Dalam satu hantaran yang berasingan, Vivy juga berkongsi gambarnya yang sedang menerima rawatan di hospital.
“Buat masa ini, saya sedang ‘berjuang’ dengan ini,” tulisnya.
Menurut Khazanah, pelaburan itu diluluskan sebagai komitmennya untuk menyokong pengasas tempatan dan ekosistem syarikat permulaan seperti Fashion Valet, enam tahun lalu.
Manakala, PNB pula berkata pelaburannya bertujuan untuk membantu syarikat runcit digital bumiputera berkembang menjadi platform runcit serantau jenama Malaysia.
Sumber: Instagram