Selain daripada aspek-aspek keselamatan, tips perbelanjaan dan sebagainya, amatlah penting untuk kita kenal budaya di sesuatu tempat itu jika ingin merantau ke situ.
Seperti yang berlaku kepada seorang traveller dari Perancis ini, tindakannya telah menyinggung sesetengah rakyat Malaysia atas kelakuannya yang bergurau memperkenalkan dirinya sebagai Raja Kelantan.
Tak tahu ia sensitif, bersikap terbuka ingin tahu lebih lanjut pasal budaya
Perkara itu dibuat menerusi satu video yang berjudul “Memperkenalkan Raja Baru Kelantan”, video tersebut menunjukkan dia berdiri diatas balkoni sambil melebarkan tangannya sebelum video tersebut dibuang.
Disebabkan itu, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Alwin di TikTok tampil membuat permohonan maaf atas ketelanjuran tindakannya itu.
Dalam video permohonan maaf itu, Alwin menjelaskan bahawa terdapat 2 reaksi yang dia terima iaitu orang yang terhibur dan orang yang tersinggung. Susulan itu, Alwin menyatakan bahawa dia dengan ikhlas hati memohon maaf kepada golongan yang tersinggung kerana tidak tahu ianya satu perkara sensitif.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf. Saya tak tahu bahawa ia adalah satu topik sensitif.”
“Apa yang saya tahu adalah agama merupakan satu topik sensitif, kerana pernah terjadi kepada saya sebelum ini dimana saya bercakap ketika azan. Jadi saya faham, tapi saya memang tak tahu mengenai sultan ini.
“Jadi kepada anda yang tersinggung atau tersakiti, itu bukan niat saya, saya akan pastikan dalam video selanjutnya, saya akan lebih peka.”
Dalam pada itu, Alwin juga menjelaskan bahawa kesilapan yang dia lakukan itu sangat common untuk seseorang yang merantau ke negara orang lain demi mengenal sesuatu budaya.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mengikutinya di media sosial dan melihat dirinya merantau seluruh Malaysia sejak hari pertama dia sampai di Alor Setar, Kedah.
https://www.tiktok.com/@alwingc/video/7151766005230931206?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1
“Saya terima banyak tanda kasih sayang daripada rakyat Malaysia dalam setiap video saya, jadi apabila perkara ni terjadi, saya tak nak timbul segala salah faham.”
Dia juga berterima kasih kepada mana-mana rakyat Malaysia yang sudi memberitahunya topik apa yang boleh menjadi sensitif dan perkara yang harus dicegah menerusi ruangan komen.