Sejak semalam tular kisah yang meruntun hati pengguna media sosial mengenai pasangan suami isteri menaiki motosikal sambil membawa bayi mereka yang memakai alat bantuan pernafasan.
Bahkan, kisah mereka turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia menghulurkan bantuan kepada pasangan ini.
Bimbang dikecam netizen
Bapa bayi berkenaan, Mohd Azlan Ishak dan isterinya, Norhidayu Halim berasa terharu apabila mengetahui kisah mereka mendapat perhatian ramai.
Artikel berkaitan: PM Kini Sedang Mencari 3 Sekeluarga, Tular Naiki Motosikal Bawa Bayi Guna Alat Bantuan Pernafasan
“Saya terharu dan terkejut apabila dapat tahu cerita kami telah sampai ke pengetahuan Perdana Menteri, namun kami juga sangat susah hati kerana bimbang dikecam warga siber.
“Kami risau takut orang kata macam-macam, tapi saya berterima kasih juga pada netizen yang tularkan kami…mereka dah bantu sayalah kiranya,” kata Azlan.
@sinarharianonline Gambar sebuah keluarga yang tular dalam media sosial memaparkan si ibu menggendong bayinya berusia 11 bulan yang mengalami masalah paru-paru serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan menaiki motosikal ditunggang bapa bayi itu ke hospital, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga itu menerusi ruangan komen Facebook miliknya agar pihak beliau dapat menghubungi keluarga berkenaan. fyp SinarHarian PM AnwarIbrahim KualaKedah VideoViral
Memetik laporan Sinar Harian, Azlan bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan di Kuala Kedah dan hanya dibayar gaji harian sebanyak RM50 sehari.
Menurut Azlan, pada masa ini mereka sekeluarga memerlukan bantuan termasuk kenderaan untuk berulang-alik ke hospital.
“Kami memang perlukan kenderaan… tambahan pula sekarang musim hujan, sukar nak bawa anak-anak ke hospital (menaiki motosikal),” katanya.
Difahamkan, bayinya yang berusia 11 bulan terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik, saiz limpa besar dan gerd ketika berusia dua bulan.
“Sejak itu anak saya terpaksa memakai mesin CPAP sepanjang masa, cuma doktor benarkan dia ‘rehat’ sejam sebelah pagi dan sejam sebelah petang ketika mandi. Kalau tak pakai, dia akan jadi susah bernafas sampai biru muka dia.”
Kata Norhidayu, selain anaknya yang berusia 11 bulan, seorang lagi anaknya yang berusia 9 tahun turut menghidap sakit kronik termasuk jantung berlubang dan perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Kalau hari janji temu dia dan abangnya di hospital jatuh pada hari yang sama, kami berempat naiklah motosikal ke hospital. Memang tak mampu nak bayar e-hailing pun.”
Menurut sumber, pasangan suami isteri ini belum mendapat bantuan kewangan secara tetap daripada mana-mana agensi dan harapan mereka kini hanyalah untuk memberikan rawatan terbaik agar anak-anak mereka sembuh dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Sumber: Sinar Harian