Pelakon filem XXX: Return of Xander Cage (2017), Kris Wu telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun atas kesalahan merogol tiga orang wanita oleh mahkamah China.
Memetik laporan Soompi, penyanyi, aktor dan model berusia 32 tahun itu sebelum ini sudah ditahan selepas terpalit dakwaan merogol beberapa orang wanita termasuklah gadis bawah umur.
Untuk pengetahuan, pada awal Julai tahun lalu, seorang gadis berusia 19 tahun, Du Meizhu memuat naik satu posting di laman sosial Weibo miliknya yang menuduh Kris Wu merogolnya dan 30 wanita lain.
Mahkamah bagaimanapun, menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan enam bulan atas kesalahan merogol tiga orang wanita antara November dan Disember 2020.
“Kris Wu, atau juga dikenali sebagai Wu Yifan mengambil kesempatan ke atas tiga orang wanita yang berada dalam keadaan mabuk di rumahnya,” jelas kenyataan mahkamah.
Tidak cukup dengan itu, Kris Wu yang pernah menganggotai kumpulan K-Pop, EXO pada tahun 2012 sebelum keluar daripada kumpulan berkenaan dua tahun kemudian turut dijatuhkan hukuman tambahan selama 1 tahun dan 10 bulan atas jenayah ‘mempengaruhi orang awam untuk melakukan jenayah seksual’.
“Pada tahun 2018, tertuduh juga pernah menyerang secara seksual dua wanita mabuk lain dan kali ini, ia turut disertai beberapa yang lain.“
Dalam pada itu, mahkamah China berkata, selepas selesai menjalankan hukumannya selama 13 tahun, penyanyi terbabit akan dihantar pulang serta-merta ke Kanada, dimana dia membesar.
Kris Wu turut diarahkan membayar sekitar RM374 Juta atas kesalahan membabitkan percukaian termasuk merahsiakan pendapatan peribadi.
Sumber: Soompi