Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan berkata, bekalan barangan di pasaran ketika ini terkawal.
Datuk Alexander berkata, situasi pembelian panik dilaporkan di beberapa kawasan di negara ini mungkin berlaku, berikutan pengumuman khas yang akan dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin esok mengenai tindakan akan dilaksanakan kerajaan, berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19.
Tambah beliau, situasi itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi dan semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, masih beroperasi seperti biasa. Keadaan ini berbeza ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas, apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di pasaran.
Pihak KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan harian terhadap keberadaan barangan keperluan pengguna termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.