Seorang bayi lelaki berusia enam bulan telah ditemui meninggal dunia dengan mukanya dilitupi selimut semasa berada di rumah pengasuhnya dekat Merlimau, Melaka, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi, pengasuh wanita berusia 27 tahun mula tersedar akan keadaan bayi berkenaan, Harraz Noah Nazrul Nizam dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi wajahnya.
Bapa bayi, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, berkata, dia telah mendapat panggilan daripada isterinya, Ainol Izzah Raslan 25, pada jam 11.40 pagi dalam keadaan menangis teresak-esak memaklumkan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, pengasuh wanita itu menghubungi isterinya dan memaklumkan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka yang tidak sedarkan diri.
Ibu saya yang lebih dekat dengan rumah pengasuh tiba beberapa minit kemudian dan melihat bibir Harraz sudah biru.
“Serentak itu, pengasuh mendakwa muka anak saya tertutup dengan selimut ketika dia sedang sibuk melakukan tugas lain di rumah berkenaan.
“Ibu saya kemudian membawa Harraz ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka. Doktor kemudian memaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya.
Tak salahkan pengasuh – Bapa bayi
Nazrul Nizam berkata, dia tidak menyalahkan pengasuh berkenaan kerana sebelum ini juga wanita tersebut sudah menjaga anaknya dengan baik sejak empat bulan lalu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Menurutnya lagi, dia mengenali pengasuh itu menerusi media sosial dan wanita berkenaan juga mengakui yang dia mempunyai pengalaman menjaga bayi sebelum ini.
Allah lebih menyayangi anak saya,” kata Nazrul.
Jenazah bayi berusia enam bulan itu dijangka bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau hari ini dan kes ini juga disahkan oleh Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi.
Al fatihah… Semoga ibu bapa bayi ini tabah dengan dugaan yang menimpa.
Sumber: Berita Harian